Terbang ke Glasgow, mendarat di Prague - Utusan Malaysia

Terbang ke Glasgow, mendarat di Prague

PENYOKONG Croatia yang menyewa pesawat peribadi ke Glasgow akhirnya terpaksa menonton perlawanan Euro 2020 di Prague. - IHSAN MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRAGUE: Hajat sekumpulan penyokong Croatia untuk bersorak buat pasukan mereka secara langsung di Stadium Hampden Park, Glasgow berakhir dengan hanya mampu menonton perlawanan menerusi skrin gergasi di Prague.

Selepas Croatia kalah 0-1 kepada England dalam perlawanan sulung Kumpulan D, penyokong tersebut mengambil keputusan untuk menyewa pesawat persendirian ke Scotland kerana menganggap skuad Vatreni memerlukan sokongan moral apabila bertemu Republik Czech dalam aksi kedua, Sabtu lalu.

Sebastian Jagic Njare bersama abangnya, Simo dan rakan-rakan mereka, Domagoj Raljevic serta Luka Vojvodic memutuskan perlawanan itu ‘wajib’ ditonton.

Selepas mendapatkan tiket perlawanan, mereka kemudian memutuskan untuk menempah jet peribadi dan berlepas dari Lapangan Terbang Zemun pada sebelah pagi hari perlawanan.

Bagaimanapun, selepas mengharungi perjalanan yang lancar semuanya berubah sebaik saja mereka tiba di destinasi dituju.

“Kami sudah memiliki tiket dan tak sabar hendak menonton perlawanan. Kami menyewa pesawat peribadi daripada sebuah syarikat Republik Czech pada harga diskaun. Sudah tentu kami bersetuju kerana kami membawa pasangan masing-masing.

“Sebaik saja tiba di Scotland, juruterbang memberitahu bahawa dia diarah meninggalkan ruang udara. Disebabkan pandemik Covid-19, pesawat tidak dibenarkan mendarat.

“Wow, ia sangat mengecewakan! Pertama, kami tidak dapat menonton perlawanan dan kedua, sudah tentu kami akan pulang dengan rasa malu! Siapa mahu menonton perlawanan dari Zadar atau Zemunik? (bandar di Croatia).

“Akhirnya, dalam pesawat kami memutuskan lebih baik jika juruterbang meminta izin untuk memasuki Republik Czech. Mujur kami mendapat kebenaran dan akhirnya menonton di Prague. Ia memang tidak dilupakan,” kata Njare.

Croatia dan Czech seri 1-1 dalam perlawanan itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya