SEVILLE, Sepanyol: Wojciech Szczesny dilihat merokok beberapa jam sebelum Poland menentang Sepanyol dalam perlawanan Euro 2020 kelmarin.
Penjaga gol Poland itu memegang sekotak rokok ketika meninggalkan hotel pasukan di Sopot sebelum terbang untuk aksi di Seville.
Dia yang memakai pakaian latihan Poland dilihat meletakkan sebatang rokok di mulutnya ketika bersama rakan-rakan sepasukan di luar bas mereka.
Bagi atlet profesional, merokok adalah ditegah, terutama ketika mereka sedang beraksi dalam kejohanan sama ada di peringkat antarabangsa mahu pun kelab.
Ini bukan kali pertama penjaga gol Juventus berusia 31 tahun itu melakukan perbuatan tersebut. Dia pernah ‘ditangkap’ merokok sekurang-kurangnya dua kali ketika beraksi buat Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris.
Menurut akhbar Britain, The Sun, bekas jurulatih Arsenal, Arsene Wenger pernah mengenakan denda 20,000 pound (RM114,500) terhadap kesalahan merokok pada 2015.
Skuad bimbingan Paulo Sousa bagaimanapun mempamer aksi baik ketika mengikat juara Eropah tiga kali, Sepanyol 1-1 dalam perlawanan itu.
Selepas ketinggalan 0-1 pada minit ke-25 menerusi jaringan Alvaro Morata, Robert Lewandowski menanduk gol penyamaan untuk menghidupkan peluang Poland mara ke peringkat kalah mati dari Kumpulan E. – AGENSI