BAKU, Azerbaijan: Wales dan Switzerland membuka kempen Euro 2020 dengan berkongsi mata selepas terikat 1-1 pada aksi Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Olimpik, sebentar tadi.
Switzerland pastinya kecewa di atas kegagalan mengutip mata penuh selepas mencipta lebih banyak peluang dan menguasai perlawanan.
Ketumpulan jentera serangan yang diketuai Haris Seferovic menyudahkan peluang terhidang antara faktor skuad kendalian Vladimir Petkovic gagal meraih tiga mata.
Wales pula perlu berterima kasih kepada penjaga golnya, Danny Ward yang cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya jentera serangan Switzerland.
Usaha anak-anak buah Petkovic mencari jaringan pembukaan akhirnya berjaya menerusi tandukan penyerang, Breel Embolo yang menerima hantaran, hasil sepakan penjuru Xherdan Shaqiri pada minit ke-49.
Tersentak dengan gol tersebut, Wales terus meningkatkan tempo permainan dan berjaya menyamakan kedudukan juga menerusi tandukan oleh penyerang, Kieffer Moore pada minit ke-74.
Switzerland seakan mampu membawa pulang tiga mata, namun gol yang dijaringkan pemain gantian, Mario Gavranovic lima minit sebelum tamat permainan dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia berada dalam kedudukan ofsaid.
Aksi serang-menyerang kedua-dua pasukan dalam lima minit terakhir gagal menghasilkan sebarang jaringan, sekali gus kedudukan kekal hingga wisel penamat ditiupkan. – AGENSI