PETALING JAYA: Nama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari tiba-tiba kembali menjadi sebutan hari ini apabila badan bola sepak Eropah, UEFA mengeluarkan senarai penjaring terbanyak dunia dengan legenda negara itu menghuni tangga kedua.
Selepas penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo berjaya menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman yang dipegang legenda Iran, Ali Daei dengan mengumpul gol ke-109 dalam Euro 2020, UEFA menyenaraikan 11 penjaring terbanyak dunia di laman web rasmi mereka.
Ramai yang terkejut nama Mokhtar atau lebih dikenali dengan gelaran Super Mokh berada di tempat kedua menerusi 89 gol.
Itu bermakna, penyerang legenda itu berjaya mengatasi dua ‘superstar’ dunia iaitu Ferenc Puskas (Hungary) dan Pele (Brazil) dengan masing-masing hanya meledak 84 dan 77 gol dalam perlawanan antarabangsa.
Catatan itu juga menyaksikan gol Mokhtar lebih banyak berbanding Lionel Messi (bersama skuad kebangsaan). Bintang Argentuna itu meledak 70 gol buat negaranya.
Senarai yang dikeluarkan UEFA dalam laman web rasminya, www.uefa.com mengejutkan dan dalam masa sama mengujakan peminat bola sepak tanah air kerana ramai yang tidak mengetahui jumlah sebenar gol yang telah disempurnakan Mokhtar sepanjang zaman kegemilangannya.
SENARAI PENJARING GOL TERBANYAK
109 Ali Daei (Iran) – 149 penampilan
109 Cristiano Ronaldo (Portugal) – 177 penampilan
89 Mokhtar Dahari (Malaysia) – 142 penampilan
84 Ferenc Puskas (Hungary) – 85 penampilan
79 Godfrey Chitalu (Zambia) – 111 penampilan
78 Hussein Saeed (Iraq) – 137 penampilan
77 Pele (Brazil) – 92 penampilan
76 Ali Mabkhout (UAE) – 92 penampilan
75 Sandor Kocsis (Hungary) – 68 penampilan
75 Kunishige Kamamoto (Jepun) – 76 penampilan
75 Bashar Abdullah (Kuwait) – 134 penampilan
Pautan:
https://www.uefa.com/uefaeuro-2020/news/026a-1297500e1b34-a17bbbcad258-1000–ronaldo-equals-world-record/?iv=true