PARIS: Misi Serena Williams untuk memburu kejuaraan Grand Slam ke-24 berkecai selepas ditunjukkan jalan keluar pada pusingan keempat tenis Terbuka Perancis hari ini.
Bintang Amerika Syarikat (AS) itu tewas kepada pemain Kazakhstan yang 18 tahun lebih muda daripadanya Elena Rybakina dari Perancis 3-6, 5-7.
Dengan ketiadaan ramai pemain bintang seperti Ashleigh Barty, Naomi Osaka, Simona Halep dan Victoria Azarenka, Serena dilihat berada pada landasan terbaik untuk menjuarai Terbuka Perancis buat kali keempat.
Bagaimanapun penyingkiran pemain berusia 40 tahun itu menyaksikan bintang muda AS yang juga pilihan keempat dan juara Terbuka Australia tahun lalu, Sofia Anna, 22, menjadi pemain pilihan tertinggi berada dalam persaingan.
Turut menjadi tumpuan pemain muda Poland, Iga Swiatek, 20, yang melakar kejutan muncul juara Terbuka Perancis tahun lalu, selain juara Terbuka AS 2017, Sloane Stephens dari AS.
Kekalahan terbaharu ini juga menyaksikan Serena gagal dalam percubaan menambah gelaran Grand Slam sejak kali terakhir melakukannya dengan menjuarai Terbuka Australia 2017.
“Anda tahu, saya benar-benar berusaha memenangi perlawanan kerana ini adalah musim yang sangat sukar buat saya beraksi di gelanggang tanah liat,” kata Serena.
Rybakina yang bakal menyambut hari lahir ke-22 pada 17 Jun depan tampak tenang sepanjang permainan, sebelum melakar pencapaian terbaiknya pada kejohanan Grand Slam dalam masa 1 jam, 17 minit.
Dilahirkan di Moscow tetapi mewakili Kazakhstan, pemain itu berkata, dia tidak berfikir terlalu jauh ketika memasuki gelanggang dan hanya cuba mengikuti perancangan.
“Saya hanya ikut semua yang telah dirancang. Kalau ia berjalan dengan baik, saya menang, jika tidak…saya belajar daripada perlawanan. Semuanya seperti pengalaman bagi saya,” katanya. – AGENSI