SEVILLE: Menang atau ‘bungkus’ awal.
Itu situasi yang dihadapi juara tiga kali, Sepanyol apabila menentang Slovakia dalam perlawanan terakhir Kumpulan E, Khamis ini selepas kedudukan mereka kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’.
Gagal meraih kemenangan buat kali kedua berturut-turut dan hanya menjaringkan satu gol bukan saja menyebabkan skuad La Roja berdepan kritikan hebat, malah berisiko tersingkir awal selepas menghuni tangga ketiga kumpulan menerusi dua mata.
Selepas bermula langkah kanan dengan membuka jaringan menerusi Alvaro Morata pada minit ke-25, penyerang sensasi Poland, Robert Lewandowski muncul wira pasukannya dengan menyamakan kedudukan di minit ke-54 untuk perlawanan berkesudahan 1-1 di Stadium La Cartuja semalam.
Ini kali kedua Sepanyol keciciran mata selepas seri 0-0 dengan Sweden dalam aksi pembukaan, sekali gus meletakkan mereka di tangga ketiga Kumpulan E menerusi dua mata. Sweden mengungguli saingan dengan empat mata, diikuti Poland (tiga).
Keputusan seri dengan Slovakia, Khamis ini juga tidak akan membantu anak-anak buah Luis Enrique untuk meneruskan kemaraan ke peringkat kalah mati selaku empat pasukan terbaik tangga ketiga.
???? Así ha sido el entrenamiento de una @SeFutbol que ya prepara el decisivo partido ante Eslovaquia.#SomosEspaña #EURO2020 pic.twitter.com/PidvQSwoeI
— Selección Española de Fútbol (@SeFutbol) June 20, 2021
“Saya mengharapkan lebih lagi. Saya mengharapkan enam mata dan tidak dibolosi tetapi ini adalah situasi yang kami hadapi.
“Kini, kami berdepan perlawanan yang sangat penting dan jika kami mahu melangkah ke pusingan seterusnya kami perlu menang.
“Jika kami menang, kami mara dan jika tidak kami akan tersingkir. Ini adalah realitinya,” kata Enrique
Enrique bagaimanapun mempertahankan kritikan yang dilemparkan terhadap Morata, sambil menegaskan penyerang itu telah melakukan yang terbaik dalam dua perlawanan.
“Kami tinggal di negara bebas, semua orang berhak kata apa yang mereka mahu. Kata-kata mereka tidak membimbangkan kami, sebaliknya permainan di atas padang menjadi fokus pasukan.
“Morata telah melakukan banyak perkara bagus, sama seperti dalam perlawanan pertama. Saya harap, kami boleh mempamer permainan lebih lengkap,” katanya.