MADRID: Mengambil kesempatan atas peraturan yang mewajibkan semua kelab La Liga melepaskan pemain ke Sukan Olimpik, Sepanyol bakal menyenarai enam anggota skuad Euro 2020 untuk beraksi pada temasya Tokyo bulan depan.
Jurulatih Olimpik Sepanyol, Luis de la Fuente hari ini mengumumkan senarai 22 pemain yang akan beraksi pada temasya 23 Julai hingga 8 Ogos itu, di mana penjaga gol, Unai Simon mengetuai pemain Euro ke Tokyo bersama Eric Garcia, Pau Torres, Pedri Gonzalez, Mikel Oyarzabal serta Dani Olmo.
Kesemua mereka berada dalam skuad yang bakal menentang Switzerland pada suku akhir Sabtu ini, malah Simon, Garcia dan Pedri diturunkan dalam kesebelasan utama Sepanyol menumpaskan Croatia 5-3 pada masa tambahan di Copenhagen semalam.
“Pemain-pemain ini berada pada motivasi tertinggi kerana membawa pengalaman lebih besar. Mereka adalah pemain muda dengan kualiti luar biasa. Moga mereka sampai ke final (Euro 2020) dan berjaya merangkul gelaran,” kata De la Fuente.
Kata De la Fuente, dengan kebanyakan kelab antarabangsa menolak untuk melepaskan pemain, dia tiada pilihan kecuali memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemain dari kelab liga domestik.
“Kami bernasib baik kerana kelab Sepanyol diwajibkan untuk melepaskan pemain,” katanya.
Hanya dua pemain bukan dari kelab Sepanyol akan menganggotai skuad Olimpik Sepanyol iaitu Olmo (RB Leipzig, Jerman) dan Rafa Mir dari kelab Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers.
Tiga pemain berusia lebih dari 24 tahun yang disenaraikan ke Tokyo ialah Dani Ceballos, Marco Asensio dan Mikel Merino.
Ceballos tidak dipanggil untuk pasukan senior kerana kecederaan, sementara Asensio baru-baru ini kehilangan tempatnya dalam skuad La Roja. – AGENSI