MADRID: Luis Enrique memanggil lima lagi pemain bagi mengisi senarai ‘kecemasan’ bagi memastikan Sepanyol bersedia jika berlaku lagi kes jangkitan Covid-19 seperti yang terjadi terhadap ketua pasukan, Sergio Busquets.
Busquets terpaksa meninggalkan kem latihan Euro 2020, sementara pemain lain diuji negatif sebaik saja tamat perlawanan persahabatan menentang Portugal di Madrid hujung minggu lalu.
“Sekarang setiap pemain melakukan ujian harian. Kesemua dalam skuad dan pemain kembali dengan keputusan negatif,” kata Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF).
Jurulatih Sepanyol itu menyenaraikan penyerang Leeds United, Rodrigo Moreno; pemain tengah West Ham, Pablo Fornals, Carlos Soler dari Valencia dan Brais Mendez (Celta Vigo).
Pemain pertahanan Villarreal, Raul Albiol turut berada dalam senarai menunggu.
Mereka akan berlatih berasingan pada waktu berbeza dengan pemain lain.
Sepanyol akan berdepan Lithuania dalam perlawanan terakhir pemanas badan esok pagi.
Skuad La Roja akan memulakan kempen Euro 2020 dengan menentang Sweden pada 15 Jun dan Enrique mempunyai masa sehingga Ahad ini untuk menukar pemain menjelang aksi pembukaan di Seville. – AGENSI