PARKEN, Copenhagen: Daripada pemain yang dibenci, dicaci, malah diugut penyokong sendiri, Alvaro Morata muncul wira apabila meledak gol ‘inspirasi’ Sepanyol ketika menumpaskan Croatia 5-3 dalam perlawanan dramatik yang diheret ke masa tambahan sebentar tadi.
Sepanyol juga berjaya keluar dari detik memalukan apabila kesilapan buruk penjaga gol, Unai Simon yang tidak menangkap bola hantaran ke belakang Pedri seawal minit ke-20 menyebabkan mereka ketinggalan 0-1 menerusi gol sendiri.
Biarpun jaringan Pablo Sarabia (minit ke-38), Cesar Azpilicueta (m-57) dan Ferran Torres (m-76) berjaya meningkatkan semula keyakinan skuad La Roja apabila mendahului 3-1, namun naib juara Piala Dunia 2018, Croatia tidak memberi laluan mudah.
Ketika pemain Sepanyol yakin untuk meraih kemenangan, Croatia yang tidak berputus asa melancarkan serangan bertali arus ke gawang lawan dan akhirnya, Mislav Orsic merapatkan kedudukan 3-2 pada minit ke-85.
Ketika perlawanan menunggu masa untuk ditamatkan, Mario Pasalic mengejutkan Sepanyol dengan meledak gol penyamaan, dua minit memasuki waktu kecederaan untuk mengheret saingan ke masa tambahan.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari gol kemenangan dan Morata menaikkan semangat pasukannya apabila mencetak gol keduanya dalam Euro 2020 pada minit ke-100 untuk Sepanyol mendahului 4-3.
Jaringan penyerang Juventus itu nyata memberi inspirasi buat anak-anak buah Luis Enrique dan akhirnya, pemain gantian, Mikel Oyarzabal memastikan kemenangan selesa pasukannya dengan meledak gol kelima, tiga minit berselang.
Daripada pasukan yang dikritik di awal kejohanan, malah diragui keupayaannya, Sepanyol kini muncul negara paling banyak meledak gol dalam Euro 2020.
Sepanyol sebelum ini turut melakar kemenangan besar pada perlawanan terakhir Kumpukan E apabila membelasah Slovakia 5-0, Khamis lalu.
Keputusan 5-3 juga melakar rekod kedua tertinggi dalam satu perlawanan di Kejohanan Eropah sejak Yugoslavia menumpaskan Perancis 5-4 pada separuh akhir 1960.
Kemenangan ini akan menemukan mereka dengan pemenang di antara juara dunia, Perancis atau Switzerland pada suku akhir, Ahad ini. – AGENSI