Semangat Olimpik Malaysia tetap membara - Utusan Malaysia

Semangat Olimpik Malaysia tetap membara

KHAIRULNIZAM Mohd. Efendy akan mengetuai skuad pelayaran yang menjadi atlet Malaysia pertama bakal tiba di Tokyo, Selasa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik ketidaktentuan Sukan Olimpik 2020, Malaysia akan tetap menghantar kontinjen dengan atlet pelayaran menjadi skuad pertama tiba di Tokyo, Selasa depan.

Biarpun penganjur mendedahkan 10,000 sukarelawan menarik diri 50 hari menjelang temasya bermula pada 23 Julai, namun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) percaya, isu tersebut hanya masalah dalaman yang tidak sama sekali menjejaskan penganjuran temasya.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib menegaskan, setakat ini tiada mana-mana negara menyatakan hasrat menarik diri, malah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan tuan rumah komited untuk meneruskan temasya dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

“Perkembangan terbaru mengenai 10,000 sukarelawan menarik diri adalah isu dalaman tuan rumah. Ini kerana ada di antara mereka tidak puas hati Olimpik dijalankan dan sebab itu mereka protes.

“Bagi Malaysia, Olimpik akan berlangsung seperti biasa dan hari ini tinggal 50 hari lagi menjelang temasya tersebut. Tiada sebarang makluman mengatakan ia akan ditunda.

“Malah, skuad pelayaran kita akan menjadi pasukan pertama tiba di Jepun. Ini bermakna semua berjalan seperti ditetapkan, tiada apa-apa perubahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

NAZIFUDDIN NAJIB

Malaysia akan menghantar empat atlet pelayaran pada temasya kali ini, diketuai Khairulnizam Mohd. Afendy, selain Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali.

Jepun sedang berdepan gelombang keempat Covid-19 dengan Tokyo serta enam negeri lagi berada di bawah perintah darurat sehingga hujung bulan ini sebelum bermulanya Olimpik.

Kata Nazifuddin, beliau menasihatkan setiap atlet agar memberi tumpuan kepada latihan, termasuk persiapan emosi sebelum beraksi dalam temasya yang penuh mencabar.

“Cabaran Olimpik kali ini luar biasa. Memang tidak dinafikan, namun saya harap semua atlet memberikan tumpuan sepenuhnya dalam sesi latihan.

“Kita ambil contoh beberapa pertandingan besar seperti sukan terjun Piala Dunia FINA dan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi bola sepak, mereka semua beraksi dalam keadaan pandemik.

“Ada juga atlet yang mungkin membuat kemunculan terakhir. Peluang mereka untuk mendapat kejayaan di Olimpik juga tinggi. Jadi, lakukanlah yang terbaik demi negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya