'Sekarang masa untuk berehat' - Utusan Malaysia

‘Sekarang masa untuk berehat’

AKSI Iga Swiatek ketika melakukan servis menentang Maria Sakkari hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Setelah mengharungi lapan bulan yang ‘melelahkan’ sejak merangkul kejuaraan Terbuka Perancis 2020, Iga Swiatek berkata, sekarang tiba masanya untuk dia berehat secara fizikal serta mental selepas tersingkir pada suku akhir di Roland Garros hari ini.

Bintang muda Poland berusia 20 tahun itu gagal mempertahankan kejuaraan selepas disingkirkan oleh pemain Greece, Maria Sakkari 4-6, 4-6 pada suku akhir.

Swiatek sebelum ini menjadi tumpuan apabila menjuarai Terbuka Perancis, Oktober tahun lalu tanpa melepaskan sebarang set.

“Apabila berada di dalam gelanggang, saya menjadi orang lain. Saya tidak boleh tidur lena semalam, hanya tidur beberapa jam.

“Saya berfikir dua kali ganda daripada yang sepatutnya. Sulit untuk memikirkan apa yang berlaku secara rasional,” kata pilihan kelapan kejohanan itu.

MARIA Sakkari meraikan kejayaan menewaskan Iga Swiatek untuk mara ke separuh akhir Terbuka Perancis hari ini.

Kata Swiatek, dia kini mahu berehat seketika sebelum memikirkan misi besar berikutnya iaitu memburu pingat emas Sukan Olimpik Tokyo yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

Biarpun akan menyertai kejohanan Grand Slam gelanggang rumput, Wimbledon (28 Jun-11 Julai), namun tida tidak merasakan mempunyai peluang besar dalam kejohanan tersebut.

“Saya tidak tahu sama ada saya masih ingat bagaimana hendak bermain di atas permukaan rumput, jadi kita tengok saja apa yang akan berlaku nanti.

“Saya tidak meletakkan harapan atau tekanan kepada diri sendiri kerana saya benar-benar tidak mahir di atas permukaan itu.

“Sudah tentu, persiapan kini lebih terarah kepada Sukan Olimpik. Kemuncaknya, saya mungkin mampu bergelar juara Olimpik,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya