SEVILLA: Pemain tengah Liverpool, Thiago Alcantara berkata, dia sangat membenci bola sepak moden dan percaya video bantuan pengadil (VAR) telah merencatkan permainan.
Jelasnya, biarpun teknologi itu banyak membantu permainan menjadi lebih adil, namun ia telah menyebabkan perlawanan menjadi perlahan dan mengambil masa terlalu lama untuk dinilai.
“Saya memang bencikan bola sepak moden. Saya lebih kepada klasik. Banyak keputusan VAR yang telah saya tentang. Ia jejaskan semangat berpasukan.
“Akan ada kesilapan ketika kami beraksi, termasuk juga pengadil. Banyak momen atau sejarah yang jarang berlaku tidak akan wujud jika menggunakan VAR.
“Dan jika anda menjaringkan gol biarpun ia cantik dari separuh padang, anda akan terfikir dan berharap agar ia tidak ofsaid, atau melakukan kesilapan,” katanya.
Thiago berkata demikian menjelang aksi Sepanyol menentang Poland esok (pukul 3 pagi waktu Malaysia) dalam perlawanan kedua Kumpulan E, Euro 2020.- AGENSI