LONDON: Jurulatih Hungary, Marco Rossi melabelkan Cristiano Ronaldo sebagai ‘menjengkelkan’ dan tidak senang dengan cara bintang Portugal itu meraikan gol ketika bertemu pasukannya.
Hungary berjaya mengekang Portugal sehingga minit ke-84 pada aksi pertama Kumpulan F, Euro 2020 sebelum Raphael Guerreiro memecah kebuntuan.
Ronaldo kemudian menambah dua gol lagi untuk membolehkan pasukannya menang 3-0.
Jaringan pertama Ronaldo hasil sepakan penalti membolehkannya mengatasi rekod Michel Platini selaku penjaring terbanyak Euro dengan 10 gol.
Bagaimanapun Rossi menyifatkan reaksi Ronaldo ketika menjaringkan gol agak keterlaluan.
“Ronaldo seorang yang hebat tetapi ada masanya dia agak menjengkelkan.
“Selepas menyempurnakan sepakan penalti ketika bertemu kami, dia meraikan gol itu seolah-olah menjaringkan bermain dalam perlawanan final.
“Ramai yang menyedarinya,” katanya kepada Gazzetta dello Sport.
Ronaldo, 36, memecah satu lagi rekod selepas menyempurnakan dua penalti ketika Portugal seri 2-2 menentang Perancis dalam aksi penutup kumpulan.
Dua jaringannya membolehkan dia mengumpul 109 gol, sekali gus menyamai rekod legenda Iran, Ali Daei selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa. – AGENSI