BUDAPEST: Cristiano Ronaldo kini berkongsi ‘status’ dengan legenda Iran, Ali Daei selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk skuad kebangsaan selepas mengikat Perancis 2-2 dalam aksi Kumpulan F Euro 2020 sebentar tadi.
Bintang Portugal itu meledak dua gol menerusi sepakan penalti untuk mengikat juara dunia tersebut di Stadium Puskas, Budapest, sekali gus melayakkan mereka ke peringkat kalah mati.
Penyerang Juventus itu kini mengumpul 109 gol sepanjang 176 penampilan bersama skuad A Selecao sejak menyertainya pada 2003.
Ronaldo kini berpeluang untuk menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman mengatasi Daei jika diturunkan dalam aksi menentang Belgium di Stadium La Cartuja, Seville, Sepanyol, Ahad ini.
Bekas pemain Bayern Munich, Daei, menjaringkan 109 gol sepanjang 149 penampilan bersama Iran antara tahun 1993 hingga 2006.
Kedua-dua pemain tersebut jauh meninggalkan pencabar lain, dengan tempat ketiga dihuni legenda Malaysia, Mokhtar Dahari, yang bersara pada 1985 menerusi 89 gol, manakala ikon Hungary, Ferenc Puskas ketiga (84 gol).- AGENSI