Ronaldo dihujani mesej simpati - Utusan Malaysia

Ronaldo dihujani mesej simpati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEVILLE: Cristiano Ronaldo dihujani mesej simpati di media sosial selepas Portugal tersingkir dari Euro 2020 biarpun dia telah melakukan segala-gala yang terdaya untuk membantu pasukannya.

Rembatan deras Thorgan Hazard memadai untuk membawa Belgium mara ke suku akhir dan menyingkirkan juara bertahan 1-0 dalam aksi di Stadium La Cartuja, Seville awal pagi tadi.

Biarpun tidak berada pada prestasi terbaiknya, Ronaldo, 36, menunjukkan kesungguhan untuk membantu Portugal bangkit dengan serangan bertali-arus.

Dia turut menguji penjaga gol lawan, Thibaut Courtois menerusi sepakan bebas yang cantik pada babak pertama, namun gagal menembusi gawang Belgium.

Sudahpun meledak lima gol dalam Euro 2020 dan memecah rekod penjaring terbanyak dunia, Ronaldo bagaimanapun gagal membawa Portugal untuk memahat sejarah merangkul kejuaraan Eropah dua kali berturut-turut.

Biarpun Portugal kalah, Ronaldo tetap legenda Euro dengan muncul satu-satunya pemain yang membuat lima penampilan.

“Lelaki ini telah memberi segala-galanya buat Portugal, tapi Portugal gagal ke suku akhir,” tulis pemilik akaun Twitter, Rafay.

“Luluh hati saya. Ini mungkin kali terakhir saya menonton aksi Ronaldo dalam Euro. Terima kasih atas memori 2004-2021,” tulis Matthews Izzac.

“Mereka yang mengecam Ronaldo tidak tahu tentang bola sepak. Lelaki ini telah melakukan segala-gala yang terdaya, semua yang termampu untuk pasukannya dan dia hampir menjaringkan gol. Tuah tidak memihak kepadanya. Apa pun itulah harga (kritikan) yang kamu dapat kerana menjadi GOAT (pemain terhebat sepanjang zaman),” kata Ronaldoempire7.

Walaupun ramai yang kecewa kerana tidak dapat lagi melihat aksi bintang Juventus itu dalam kempen Eropah kali ini, namun ada juga suara-suara menyindir, terutama  mengaitkan insiden botol Coke.

Malah, ada juga yang berkata, Portugal gagal ke suku akhir kerana mereka tidak dihadiahkan sepakan penalti. Tiga daripada lima jaringan Ronaldo disempurnakan menerusi penalti, termasuk dua ketika mengikat Perancis 2-2.

“Saya fikir, keputusan (1-0) tidak adil tetapi mereka menjaringkan gol dan kami tidak,” kata pengendali Portugal, Fernando Santos sejurus tamat perlawanan.

Belgium kini menempah pertemuan suku akhir dengan Itali pada Sabtu, ketika Ronaldo dan rakan-rakannya pulang awak ke Portugal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya