Ronaldo atlet hampir sempurna - Utusan Malaysia

Ronaldo atlet hampir sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CRISTIANO Ronaldo boleh dikatakan atlet yang hampir sempurna kerana memiliki segalanya termasuk sebuah keluarga bahagia bersama Georgina Rodriguez dan empat orang anaknya iaitu Cristiano Jr, Eva , Mateo serta Alana Martina.

Ronaldo terus memegang status nombor satu dalam carta individu paling berpengaruh dalam media sosial dengan memiliki jumlah pengikut sebanyak 517 juta.

Bintang Juventus dan Portugal itu adalah selebriti pertama mencecah angka berkenaan menerusi medium Facebook, Twitter dan Instagram mengatasi Justin Bieber dikedudukan kedua dengan 455 juta pengikut dan Ariana Grande di tangga ketiga (429).

Betapa besarnya pengaruh pemain terbaik dunia sebanyak lima kali itu dibuktikan ketika saingan Euro sedang berlangsung di mana tindakan Ronaldo mengalih botol Coca-Cola pada sidang media mengakibatkan kerugian yang besar buat syarikat pengeluar air terbesar dunia tersebut.

Dilaporkan syarikat itu mengalami kerugian sebanyak AS$4 bilion (RM16.4 bilion) selepas tindakan Ronaldo.

Malah, tindakan bekas pemain Manchester United itu turut menjadi ikutan, di mana bintang tengah Perancis yang beragama Islam, Pogba mengalihkan sebotol Heineken, manakala bintang tengah Itali, Locatelli menggantikan Coca-Cola dengan air kosong.

Bintang Portugal berusia 36 tahun itu, sememangnya mengamalkan diet yang ketat dan mengelak daripada mengambil terlalu banyak gula untuk mengekalkan fizikalnya berikutan usianya semakin meningkat.

Semasa di Real Madrid, doktor pasukan berkata Ronaldo mempunyai tubuh seorang pemain 10 tahun lebih muda dan mampu beraksi di pentas tertinggi sehingga usia 40 tahun.

CRISTIANO RONALDO
Nama penuh: Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro
Tarikh lahir: 5 Februari 1985
Tempat lahir: Funchal, Madeira, Portugal
Negara/kelab: Portugal/Juventus
Pendapatan : AS$500 juta (RM2.07 bilion)
Pasangan: Georgina Rodriguez
Anak: 4
Makanan kegemaran: Bacalhau bras (makanan Portugal)
Penyanyi kegemaran: Elton John, George Michael, Phil Collins, muzik Brazil
Pelakon kegemaran: Angelina Jolie
Idola: Ronaldo (Brazil)

Sikapnya yang mementingkan tubuh badan yang sihat dan fizikal yang baik pernah tular sebelum ini apabila dia bertindak memarahi anaknya kerana gemar makan atau minum produk makanan ringan.

Bagi Ronaldo, tabiat itu buruk dan tidak baik untuk kesihatan badan.

Dalam masa sama, Ronaldo yang berstatus billionaire juga cukup terkenal dengan sifat ‘pemurah’ dan dermawan apabila sering kali memberi sumbangan kepada golongan  tidak berkemampuan selain membantu mangsa-mangsa peperangan seperti di Palestin, Syria dan beberapa negara lagi.

Sikapnya pemurahnya itu sangat disegani peminat-peminat bola sepak seluruh dunia.

Bapa kepada empat orang anak itu juga salah seorang individu yang mempunyai hobi mengumpul kereta mewah.

Antara koleksi kereta yang dimilikinya adalah Bugatti Centodieci yang hanya 10 pengeluaran sahaja di dunia bernilai £8.5 juta pound (RM45 juta).

Ronaldo juga memiliki kereta Lamborghini Aventador LP 700-4, Ferrari 599 GTO, Porsche Cayenne Turbo, Mercedes-Benz C220 CDI, Bugatti Veyron, dan Aston Martin DB9.

Sering bertukar-tukar pasangan teman wanita, Ronaldo kini dilihat telah menemui cinta sejati selepas bertemu dengan Georgina Rodriguez yang sehingga kini terus mendampinginya.

Berbalik kepada saingan Euro 2020, Ronaldo telah memahat rekod penjaring terbanyak Kejohanan Eropah (Euro) untuk mengumpul 11 gol keseluruhan sepanjang penampilannya di pentas Eropah bagi mengatasi rekod jaringan terbanyak yang dikongsi bersama legenda Perancis, Michel Platini sebelum ini iaitu sembilan gol.

Ronaldo yang kini mengumpul 106 gol buat negaranya, dilihat berpeluang untuk mengatasi rekod jaringan sepanjang zaman peringkat antarabangsa milik pemain Iran, Ali Daei dengan 109 gol jika terus mempamerkan aksi konsisten. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya