LONDON: Pertahanan Switzerland, Ricardo Rodriguez mengingatkan rakan-rakan sepasukannya agar tidak memberi ruang kepada Gareth Bale apabila pasukannya menentang Wales dalam aksi pembukaan Euro 2020 esok.
Bek kiri Torino itu berkata, Bale adalah kunci utama kejayaan Wales dan berjaya mengikat bintang Real Madrid itu memberi peluang baik buat mereka untuk memenangi aksi Kumpulan A di Baku.
“Dia pemain yang sangat bagus dan sarat dengan pengalaman tetapi jika kami bersatu sebagai satu pasukan, dia boleh disekat.
“Kami perlu menjadikan ruang amat sempit buatnya kerana sekali Bale memusingkan badan, memang sukar untuk menghalangnya,” kata Rodriguez.
Kata Rodriguez, selain perlu memenangi perlawanan pembukaan yang dianggap peluang terbaik buat Switzerland, pertemuan menentang Wales itu juga menjadi pentas buatnya untuk ‘mengintai’ kelab baharu selepas mengharungi musim mengecewakan bersama Torino dalam Serie A.
Sementara itu, pemain sayap Manchester United, Daniel James percaya, kekuatan Wales tidak hanya terletak kepada Bales, sebaliknya mereka memiliki jentera serangan yang mampu menggerunkan lawan.
Kieffer Moore, Harry Wilson, David Brooks dan Tyler Roberts mampu memberi lebih banyak pilihan di bahagian serangan manakala perancangan utama Juventus, Aaron Ramsey, Bale dan dirinya akan menjadi perencana gerakan.
“Bagi kami, semua pemain akan terlibat dalam perlawanan. Kami membariskan pasukan yang pasti digeruni dan lebih hebat lagi, semua pemain cergas untuk diturunkan sepanjang Euro,” katanya. – AGENSI