Ramos tinggalkan Real Madrid - Utusan Malaysia

Ramos tinggalkan Real Madrid

SERGIO RAMOS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Kapten legenda Real Madrid, Sergio Ramos akan meninggalkan kelab itu selepas mengharungi 16 musim yang gemilang, umum gergasi La Liga itu semalam.

Menurut Real, mereka akan mengadakan acara ‘penghormatan khas’ buat tonggak pertahanan tengah itu hari ini yang dihadiri oleh presiden kelab, Florentino Perez.

Ramos, 35, bergelut dengan kecederaan musim ini dan hanya beraksi lima kali dalam saingan La Liga sejak awal tahun.

Dia hanya membuat 21 penampilan keseluruhan (semua pertandingan) untuk Real musim ini, iaitu paling rendah sepanjang bersama 16 tahun kelab.

Secara keseluruhan Ramos beraksi 671 perlawanan untuk Real dan menjaringkan 101 gol.

Ramos menyertai Real dari Sevilla pada 2005, satu-satunya pemain Sepanyol yang dibawa masuk ketika Perez mula menjadi presiden.

Dia muncul antara pemain paling berjaya di kelab dengan memenangi lima gelaran La Liga, empat Liga Juara-Juara dan dua Copa del Rey.

Bagaimanapun musim ini, Ramos tercicir dalam banyak perlawanan selepas dijangkiti Covid-19, selain dihimpit pelbagai kecederaan – paha kanan, betis kiri dan hamstring kiri.

Dia disenaraikan dalam perlawanan terakhir La Liga di antara Real menentang Villarreal tetapi tidak beraksi.

Menurut media Sepanyol, Real dan Ramos gagal mencapai kata putus berhubung penyambungan kontraknya yang berakhir 30 Jun ini.

Kelab ingin menawarkan lanjutan setahun dengan pemotongan 10 peratus gajinya sekarang susulan pandemik, tetapi Ramos mahu lanjutan dua tahun.

Pertahanan veteran itu turut tercicir daripada skuad Sepanyol untuk saingan Euro 2020 yang sedang berlangsung.

Ketiadaan Ramos bermakna tiada seorang pun pemain Real membarisi skuad Sepanyol kali ini.

Ramos turut menjadi pemain paling kerap mewakili Sepanyol iaitu dalam 180 perlawanan. Dengan 23 gol, dia menduduki tangga kelapan penjaring terbanyak skuad La Roja.

Dia mewakili Sepanyol dalam empat edisi Piala Dunia dan tiga Kejuaraan Eropah (Euro). Ramos adalah anggota skuad yang menjuarai Piala Dunia 2010 serta Euro 2008 dan 2012. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya