PETALING JAYA: Kesemua 11 bekas ahli gabungan yang meninggalkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebelum ini tetap dengan keputusan mereka meskipun Datuk Seri Ahmad Ismail membuat keputusan melepaskan jawatan presiden kelmarin.
Ahmad, 66, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengumumkan pengundurannya dalam program yang disiarkan Astro Arena, PM bersama AM.
Beliau yang memegang jawatan presiden sejak 2002 berkata, keputusan tersebut dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap konflik melanda PSM sejak akhir-akhir ini.
Beliau juga meminta agar kesemua 11 ahli gabungan yang sudah keluar untuk kembali bagi membangunkan semula PSM bersama lima lagi negeri yang masih bersama badan itu.
“Kembalilah kepada PSM, carilah kata sepakat untuk bangunkan semula sukan ini.
“Saya berjanji akan selesaikan semua masalah berkaitan tetapi bantulah selamatkan PSM. Tidak kisah saya menjadi mangsa cacian atau kejian tetapi saya bertanggungjawab untuk selamatkan PSM,” kata Ahmad.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran berkata, sebab untuk mereka kembali selepas PSM kehilangan status sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).
“Tiada sebab untuk kami masuk semula ke dalam kapal yang nak karam selain reputasi PSM sudah rosak di peringkat antarabangsa.
“Paling tidak mereka kena selesaikan dulu hutang-hutang yang ada, buat EGM (mesyuarat agung luar biasa), dapatkan status sebagai ahli gabungan Astaf balik dan baru kami semua boleh buat pertimbangan.
“Ini tidak, panggil kami untuk bersihkan nama buruk PSM, kononnya nak sama-sama bangunkan PSM. Harap maaf, kami tetap dengan keputusan kami,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman yakin hanya penubuhan persatuan baharu di peringkat kebangsaan pendekatan terbaik untuk pembangunan pada masa akan datang.
“Malaysia perlukan sesuatu yang baharu, macam contoh, syarikat lama ditutup dan buka syarikat baharu.
“Saya percaya MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan Pesuruhjaya Sukan akan memberikan bantuan dalam isu ini. Kami akan berpegang kepada suara majoriti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Perswhip), Datuk Mohd. Sumali Reduan pula mengambil keputusan untuk terus membantu membangunkan semula PSM bersama Pulau Pinang, Melaka, Labuan serta Pahang.