‘Pocket Rocketman’ nasihat jangan ragui status vaksin - Utusan Malaysia

‘Pocket Rocketman’ nasihat jangan ragui status vaksin

PELUMBA basikal trek kebangsaan, Mohd. Azizulhasni Awang menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai khususnya umat Islam perlu yakin dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan yang menetapkan hukum pengambilan vaksin Covid-19 adalah harus.

Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai status halal dan perlu membantu diri sendiri serta masyarakat bagi memastikan imunisasi berkelompok dapat dicapai sekaligus mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 di negara ini.

Begitulah nasihat jaguh basikal kebangsaan, Mohd. Azizulhasni Awang menerusi hantaran dalam media sosialnya memaklumkan sudah pun menerima dos kedua vaksin di Axiata Arena, Bukit Jalil petang tadi.

Malah, dia menyeru orang ramai yang masih belum mendaftar bagi mendapatkan vaksin supaya berbuat demikian dengan segera untuk mendapatkan giliran.

“Pentingnya pengambilan vaksin ini bukannya hanya untuk melindungi diri kita tetapi juga orang yang kita sayangi.

“Kepada yang masih meragui sama ada Vaksin ini halal atau tidak, meh sini sana beritahu sikit. Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan yang pengambilan Vaksin ini adalah harus.

“Begitu juga di peringkat antarabangsa, institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif yang dipengerusikan Syeikh Al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib juga telah memfatwakan yang hukumnya juga adalah harus.

“Jadi saya harap orang ramai akan menjauhi dan menolak teori-teori konspirasi yang banyak berlegar dalam masyarakat kita ini,” katanya yang menerima dos pertama pada 26 Mei lalu di Melbourne, Australia.

Perkembangan terkini pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu, beliau dilaporkan dalam fasa akhir mempersiapkan diri di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo bulan hadapan.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu dijadual beraksi dalam acara keirin dan pecut individu yang juga merupakan kategori kegemarannya, sementara Muhammad Shah Firdaus Sahrom bagi acara pecut dan masing-masing akan bertanding pada 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Muhammad Shah Firdaus tadi hadir bersama Azizulhasni di Axiata Arena bagi menerima suntikan pertama vaksin Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya