GOIANIA, Brazil: Peru menghidupkan semula kempen mereka dalam Copa America apabila menumpaskan Colombia buat kali pertama selepas 10 tahun menerusi kemenangan 2-1 hari ini.
Gol sendiri Yerry Mina pada babak kedua memberi kekalahan pertama buat skuad La Tricolor dalam kempen Copa America 2021, sekali gus membolehkan juara enam kali, Peru mendaki ke tangga ketiga Kumpulan B.
Dalam aksi di Stadium Olympic Pedro Ludovico, Sergio Pena memastikan Peru bermula langkah kanan dengan membuka jaringan pasukan itu seawal minit ke-17 menerusi rembatan ke penjuru kiri gawang lawan.
Miguel Borja bagaimanapun menyamakan kedudukan pada babak kedua selepas menyempurnakan sepakan penalti setelah dijatuhkan oleh penjaga gol, Pedro Gallese.
Peru kembali di depan pada minit ke-64 selepas cuba Mina untuk mengeluarkan bola sepakan penjuru Christian Cueva masuk ke gawang sendiri.
Ini kali pertama Peru menumpaskan Colombia dalam 19 pertemuan mereka sejak 2011, sekali gus memadam kekecewaan selepas dibelasah 4-0 oleh Brazil dalam aksi pembukaan.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B hari ini, Ronald Hernandez muncul penyelamat Venezuela apabila menjaringkan gol penyamaan buat pasukan itu ketika mengikat Ecuador 2-2.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Olimpik itu, Ayrton Preciado meletakkan Ecuador di depan pada minit ke-39 sebelum Venezuela menyamakan kedudukan menerusi gol yang disudahkan Edson Castillo minit ke-51.
Gonzalo Plata kembali meletakkan Ecuador di depan menerusi jaringannya pada minit ke-71 tetapi Hernandez berjaya memastikan satu mata diraih Venezuela apabila meledak gol penyamaan pada waktu kecederaan. – AGENSI