ZAGREB: Croatia menerima tamparan menjelang pertemuan menentang Sepanyol pada pusingan 16 akhir Euro 2020 esok (12 tengah malam Selasa) apabila kehilangan bintang sayap Inter Milan, Ivan Perisic yang disahkan positif Covid-19 semalam.
Perisic meledak dua gol dalam tiga perlawanan setakat ini dan memainkan peranan besar membantu naib juara Piala Dunia 2018 itu melepasi peringkat kumpulan selepas memulakan kempen perlahan.
Bagaimanapun kempen Perisic tampak sudah berakhir kerana dia perlu diasingkan 10 hari, dan itu bermakna pemain itu bakal terlepas aksi suku serta separuh akhir sekiranya Croatia melangkah jauh.
“Pada Sabtu petang, Persekutuan Bola Sepak Croatia (HNS) menerima keputusan ujian untuk virus SARS-CoV-2, yang mana pemain kami, Ivan Perisic telah diuji positif Covid-19.
“Petugas perubatan mengasingkan Ivan daripada anggota skuad kebangsaan yang lain dan segera memberitahu pihak berkuasa mengenai situasi itu. Kami mengambil semua langkah yang diperlukan bagi melindungi dari penyebaran Covid-19.
“Perisic akan menghabiskan 10 hari menjalani kuarantin kendiri dan sepanjang tempoh itu dia tidak akan mengambil bahagian dalam perlawanan skuad Croatia,” kata HNS.
Perisic menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika menumpaskan Scotland 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan D, Selasa lalu hanya beberapa hari selepas kes positif dicatatkan di kem Scotland melibatkan pemain tengah Chelsea, Billy Gilmour.
Bersama kapten Luka Modric, Perisic antara pemain utama dan wira Croatia yang melangkah ke final Piala Dunia tiga tahun lalu.
Dua jaringannya di Euro 2020 menjadikan sembilan gol telah diledak pemain berusia 32 tahun itu dalam kejohanan utama dunia. – AFP