BAKU: Pemandu Red Bull, Sergio Perez meraih kemenangan sulung Formula Satu (F1) musim ini selepas memanfaatkan kegagalan jentera rakan sepasukan Max Verstappen dalam saingan Grand Prix (GP) Azerbaijan, sebentar tadi.
Dalam cabaran di Litar Bandar Baku itu menyaksikan perlumbaan terpaksa dihentikan seketika selepas tayar jentera pendahulu keseluruhan, Verstappen meletup.
Ketika itu, pelumba Belgium tersebut sedang selesa mendahului saingan dengan hanya berbaki lima pusingan untuk ditamatkan, sebelum tayar kiri belakang keretanya tiba-tiba meletup dan melanggar penghadang trek.
Verstappen bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun peluangnya untuk melebarkan jurang mata berkecai pada ketika musuh tradisinya, Lewis Hamilton dari Mercedes sekadar berada di kedudukan ke-15.
Tempat kedua dimenangi Sebastian Vettel dari Aston Martin, manakala Pierre Gasly (AlphaTauri), yang membuat kejutan semalam, melengkapkan podium.
“Kegilaan ini biasanya akan berlaku di Baku. Saya minta maaf kepada Max. Kami sebenarnya berpeluang untuk menamatkan perlumbaan 1-2 dalam satu pasukan.
“Bagaimanapun, ia sudah berlaku, saya rasa hari ini adalah hari yang sangat mengagumkan.
“Kami hampir-hampir gagal untuk menamatkan cabaran, namun kami berupaya mengendalikan segala permasalahan.
“Saya harap kejayaan ini akan menyuntik semangat untuk saya terus berjuang dalam perlumbaan seterusnya,” kata Perez.
Perez kini berada di kedudukan ketiga dalam carta keseluruhan dengan pungutan 69 mata, sementara Verstappen masih kekal mendahului (105 mata) dan Hamilton kedua (101 mata).- AGENSI