IPOH: Perak FC menyenaraikan sembilan pemain baharu bagi meneruskan perjuangan Bos Gaurus dalam baki saingan Liga Super yang akan bersambung bulan depan.
Pengurus pasukan, Ishsam Shahruddin berkata, nama pemain berkenaan telah didaftarkan dan sedang menanti kelulusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Perak FC sedar kebimbangan semua peminat serta penyokong ekoran penghijrahan enam tonggak pasukan ke beberapa kelab lain.
“Justeru Perak FC tidak melengahkan masa dan telah bertungkus lumus bagi mendapatkan pemain-pemain baharu demi keseimbangan dan kesinambungan kekuatan pemain sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, yang patah akan tumbuh dan yang hilang berganti walaupun mungkin tidak sama nilaian mereka .
Isu kewangan sebelum ini menyebabkan Perak hilang enam tonggak diketuai ketua pasukan, Shahrul Saad dan Guilherme de Paula yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
Gandingan J. Partiban dan Kenny Pallraj memilih Kuala Lumpur City sebagai destinasi baharu, manakala bek kiri, Nazirul Naim Che Hashim menyertai Sabah.
Pertahanan Singapura, Shakir Hamzah menjadi pemain terbaharu meninggalkan Perak apabila menerima tawaran kelab negara kelahirannya, Lion City Sailors.
Kata Ishsam, berdasarkan nama-nama pemain baharu, ia isyarat jelas terhadap keseriusan keseriusan Perak untuk terus kekal kompetitif selain tidak mahu menghampakan semua peminat bola sepak negeri Perak.
Selain itu, rombakan ke atas skuad semasa jendela perpindahan kedua ini merupakan kelangsungan penstrukturan semula pengurusan dan pentadbiran yang telah bermula sejak bulan Februari dan akan berterusan untuk pasukan terus kekal berdaya saing.
Menurut Ishsam, melalui langkah-langkah penstrukturan semula ini juga Perak FC berjaya melakukan penjimatan kos sekitar setengah juta ringgit.
“Ini amat penting bagi membantu pasukan mengatasi krisis kewangan untuk jangka masa pendek dan panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Perak FC mengucapkan terima kasih kepada semua enam pemain yang telah meninggalkan pasukan di atas khidmat yang telah dicurahkan selama ini.
“Perak FC berharap agar para penyokong dapat terus bersabar dan meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak pengurusan untuk melaksanakan proses dan peralihan ini,” katanya.