LONDON: Hampir separuh peminat bola sepak Britain di seluruh Eropah memilih Perancis akan menjulang trofi Euro 2020, menurut firma pertaruhan, Entain.
Menurut Entain, mereka menerima lebih tiga juta pertaruhan sepanjang kejohanan itu dan kebanyakan pertaruh memilih Perancis bakal muncul juara, diikuti England dan Belgium.
Bagaimanapun Entain, pemilik platform pertaruhan terkenal Ladbrokes, Bwin, Coral dan Eurobet tidak menyatakan secara terperinci berapa ramaikah pelanggan dari Britain yang bertaruh untuk Les Bleus.
“Sebilangan besar pertaruhan akan dilakukan setelah kejohanan bermula. Kami berharap untuk melihat sekurang-kurangnya kenaikan pertaruhan dua kali ganda sepanjang Euro seperti yang berlaku pada Piala Dunia 2018,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Entain, Jette Nygaard-Andersen dalam satu kenyataan hari ini.
Entain sebelum ini telah mengumpul 1.5 juta pertaruhan sejak awal tahun ini, dengan lebih separuh daripada pelanggan mereka datang dari Britain.
Entain PLC yang disenaraikan di London berkata, platform mereka telah siap untuk menangani jumlah trafik yang tinggi sepanjang Euro 2020.
Peminat juga memilih Harry Kane akan muncul penjaring terbanyak kejohanan selepas kapten England itu menerima 23 pertaruhan, diikuti penyerang Belgium, Romelu Lukaku (22 peratus). – AGENSI