SAINT PETERSBURG: Pertahanan Slovakia, Denis Vavro dan seorang anggota pasukan itu disahkan positif Covid-19 sehari menjelang perlawanan Kumpulan E, Euro 2020 menentang Sweden esok.
Menurut jurulatih, Stefan Tarkovic pemain berusia 25 tahun itu menjalani ujian di Saint Petersburg semalam dan tidak menunjukkan sebarang simptom atau mengalami masalah kesihatan.
Vavro serta kakitangan pasukan tersebut sudah menjalani kuarantin kendiri dan akan meninggalkan kem Slovakia.
Menurut Tarkovic, pasukan itu akan bekerjasama dengan jabatan kesihatan Rusia di bawah peraturan badan bola sepak Eropah, UEFA bagi menyekat penularan wabak berkenaan.
“Mereka kemudian menjalankan ujian ke atas pasukan kami, semua petugas logistik dan mereka yang terlibat menjaga Slovakia. Hasilnya, didapati ramai lagi yang dijangkiti Covid-19, termasuk pemandu bas kami.
“Sangat sukar untuk menghindari virus tersebut.
“Saya sangat bersimpati kepada pemain tidak dapat mengambil bahagian dalam perlawanan akan datang disebabkan Covid-19,” kata Tarkovic.
Slovakia mendahului Kumpulan E dengan tiga mata selepas mengalahkan Poland 2-1 dalam aksi pembukaan, Selasa lalu.
Selepas bertemu Sweden, negara itu dijadual bertemu Sepanyol dalam aksi terakhir kumpulan pada 23 Jun. – AFP