RIYADH: Negara yang baru dibadai ‘perang’, Palestin menerima sedikit keceriaan selepas skuad bola sepak mereka membelasah Singapura 4-0 semalam untuk menghidupkan peluang meneruskan kemaraan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Turun di Stadium The King Fahd, Riyadh dengan misi ‘wajib menang’, anak-anak buah Makram Daboub garang merobek gawang skuad Singa dengan tiga gol dalam tempoh 10 minit, sekali gus menyerlahkan betapa besarnya jurang di antara pasukan Arab dan Asia Tenggara.
Dua sepakan penalti menerusi Tamer Seyam minit ke-20 dan 30, selain jaringan Oday Dabbagh di minit ke-23 membolehkan Palestin mendahului 3-0 pada babak pertama.
Ketika perlawanan tinggal lima minit untuk ditamatkan, Yaser Hamed menambah derita Singapura dengan melengkapkan gol keempat.
Kemenangan itu membolehkan Palestin mendaki ke tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri, empat mata di belakang pendahulu, Arab Saudi. Uzbekistan di kedudukan kedua menerusi sembilan mata.
Singapura yang mencatat dua kemenangan sebelum ini berada di tangga keempat dengan tujuh mata, manakala Yemen di kedudukan tercorot.
“Pemain kami kepenatan pada babak pertama, mereka agak gemuruh.
“Saya sangat kecewa kerana mereka patut boleh memberikan lebih baik lagi tapi kami gagal menyerlahkan potensi sebenar.
“Saya fikir, kalau kami bermain dengan keupayaan sebenar, keputusan mungkin berbeza…saya mohon maaf kepada penyokong Singapura,” kata jurulatih Singapura, Tatsuma Yoshida.
Palestin, pasukan ranking ke-105 dunia bakal berdepan Yemen dalam perlawanan terakhir kumpulan, Rabu ini.
Tugas lebih getir menanti Singapura, yang menghuni ranking ke-159 dunia kerana perlu menentang Uzbekistan (86 dunia), Rabu ini sebelum berdepan tuan rumah yang juga pasukan ke-65 dunia, Arab Saudi dalam aksi terakhir, Sabtu depan.