BARCELONA: Pelumba KTM, Miguel Oliveira meraih kemenangan ketiga sejak menyertai kelas MotoGP pada 2019 apabila unggul dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Catalan di Litar Catalunya sebentar tadi.
Pelumba Portugal itu memintas Johann Zarco dari Ducati pada saat akhir untuk meraih kejayaan pertamanya musim ini menerusi catatan masa terpantas 40 minit 21.749 saat.
Tempat kedua dimenangi Zarco selepas hanya ketinggalan 0.175s di belakang Oliveira, manakala rakan sepasukannya Jack Miller melengkapkan podium (+1.990s).
Sementara itu, penunggang Yamaha, Fabio Quartararo yang memulakan perlumbaan di petak paling hadapan terlepas menaiki podium apabila berada di tempat keempat.
Begitupun, pemenang tiga kali musim 2021 itu masih mengekalkan kedudukan teratas dalam carta keseluruhan menerusi pungutan 118 mata dan berkelebihan 17 mata di depan tempat kedua, Zarco.
“Perlumbaan ini sangat mencabar. Saya hanya bersikap tenang ketika Fabio memberi tekanan kepada saya dalam kebanyakan pusingan.
“Saya hanya terus bersikap tenang apabila dia memintas saya. Sebaik memiliki peluang, saya terus mengatasinya semula. Ia satu perlumbaan yang sempurna bagi saya,” kata Oliveira.
Sementara itu, penyandang juara, Joan Mir dari Suzuki menghuni tempat kelima, manakala wakil Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli kesembilan.
Dua lagi nama besar MotoGP iaitu Valentino Rossi dari Petronas dan Marc Marquez (Honda) bagaimanapun gagal menamatkan perlumbaan ketujuh musim 2021 itu. – AGENSI