PETALING JAYA: Genap sebulan menjelang Sukan Olimpik 2020, Cheng Jun Hoong menerima perkhabaran amat menyedihkan apabila Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) mengesahkan tiada slot buatnya dalam acara 10 meter (m) platform individu di temasya Tokyo.
Menurut peraturan kelayakan baharu FINA yang dikeluarkan 12 Mei lalu, hanya 12 kuota individu diperuntukan daripada keputusan Kejohanan Piala Dunia 2021 berbanding 18 sebelum itu.
Jun Hoong, 31, sebelum ini mengesahkan tempat ke Olimpik selepas berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia FINA di Tokyo, bulan lalu yang mana peraturan lama menyaksikan kesemua 18 atlet yang beraksi di separuh akhir akan meraih tiket Olimpik.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau turut merasai kekecewaan Jun Hoong, yang sudah sedaya upaya untuk bangkit selepas merekat panjang akibat kecederaan serius.
“Saya amat memahami kekecewaan yang dialami oleh Jun Hoong pada ketika ini. Saya juga memahami kesukaran yang dia lalui sebelum ini untuk melakukan kemunculan semula di mana pada satu ketika dia hampir bersara ekoran kecederaan dan pembedahan yang dialami.
“Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk berbincang secara terperinci dengan Jun Hoong, jurulatihnya (Yang Zhuliang) dan MAS (Persatuan Renang Malaysia) untuk memperinci dan meneruskan program latihan Jun Hoong yang sebelum ini terbukti berkesan.
“Semoga Jun Hoong akan dapat meneruskan program latihan menuju Sukan Asia 2022 di Hanzhou, China,” kata Reezal dalam satu kenyataan, hari ini.
Kata Reezal, beliau difahamkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah pun menghantar surat rayuan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang turut terlibat dengan perubahan syarat kelayakan berkenaan.
“Kita berharap IOC dan FINA dapat memberi pertimbangan semula berkenaan perkara ini,” kata Reezal Merican.
Jun Hoong yang berharap untuk membuat penampilan terakhir dalam Sukan Olimpik tahun ini meraih pingat perak bersama Pandelela Rinong di temasya Rio 2016 dalam acara 10m platform seirama.
Penerjun kelahiran Perak itu juga melakar sejarah sebagai atlet Malaysia pertama bergelar juara terjun dunia dalam acara 10m platform individu di Budapest pada 2017.