Naturalisasi OK tapi biar berkualiti - Utusan Malaysia

Naturalisasi OK tapi biar berkualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh percaya, idea membawa masuk pemain naturalisasi dalam skuad bola sepak kebangsaan perlu untuk memberi saingan di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, pengambilan pemain itu biarlah lebih ketat dengan hanya yang benar-benar berkualiti boleh menyarung jersi keramat Harimau Malaya.

Katanya, semua pihak harus berpijak di bumi nyata yang mana pasukan kebangsaan memerlukan pemain naturalisasi kerana mereka memiliki kelebihan izikal, selain daripada kemahiran di atas padang.

“Kalau tanya saya, memang benda ini (naturalisasi) saya yang syorkan untuk kita ambil pemain naturalisasi ketika saya masih jurulatih kebangsaan suatu ketika dulu.

“Kita semua perlu terima hakikat Malaysia perlukan pemain naturalisasi dan salah satu sebab adalah daripada segi fizikal apabila bermain di peringkat Asia, ini belum cerita di pentas Eropah lagi, pemain-pemain tempatan kita sahaja belum cukup untuk bersaing.

“Masing-masing ada pendapat sendiri, tetapi kalau ikut pengalaman saya, sukarlah kita nak bergantung kepada pemain tempatan saja untuk ke peringkat tertinggi, jadi kita kena pastikan pemain naturalisasi ini benar-benar layak bersama skuad kebangsaan,” kata Dollah yang membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2014.

DOLLAH SALLEH

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC mengakui, kehadiran pemain naturalisasi turut membantu perkembangan Liga Malaysia (Liga M) dalam melebarkan lagi pemilihan pemain berkualiti untuk kebaikan kelab.

Bagi Stanley, jika dilihat daripada sudut positif kepada kelab, beliau merasakan pemain naturalisasi akan menjadikan sesebuah pasukan itu lebih kuat dan saingan Liga Malaysia juga akan lebih berkembang.

“Pada pendapat saya, kita melihat kepada apa kebaikan yang pemain naturalisasi ini boleh bawa kepada kelab, dan secara amnya, pemilihan pemain-pemain juga akan lebih besar malah saingan akan lebih kompetitif.

“Cuma, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam terhadap pemain tersebut seperti Paulo Josue, anak dia juga belajar di sini dan dia sendiri dilihat mungkin akan bersara di sini terus, jadi sekiranya dia menjadi pemain naturalisasi, untuk jangka masa panjang, banyak cabang dia boleh pergi.

“Untuk itu, saya rasa kita berbalik kepada apa yang pemain naturalisasi itu boleh berikan kepada kita dan saya dapat lihat adanya mereka ini, liga kita akan menjadi lebih elit dan akan lebih banyak membantu daripada segi perkembangan sesebuah pasukan itu”, jelasnya.

LIRIDON Krasniqi seorang lagi pemain naturalisasi yang dibawa masuk skuad kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali pula tidak melihat perebutan tempat yang lebih mencabar dalam kesebelasan utama dengan adanya pemain naturalisasi akan menyukarkan peluang kepada pemain tempatan.

Apa yang penting adalah bagaimana seseorang pemain naturalisasi itu mampu membawa aura yang lebih menyerlah kepada pasukan agar dapat menjadi penanda aras kepada pemain tempatan lain terutamanya mereka yang masih muda.

“Bagi saya, kita kena faham dan jelas bagaimana kualiti yang ada pada seseorang pemain naturalisasi ini untuk mereka menjadi satu contoh dan penanda aras yang baik buat pemain tempatan untuk mengikut prestasi mereka.

“Keseimbangan itu juga penting tetapi untuk pemain tempatan, apabila mereka bersaing dengan pemain-pemain yang bagus, saya percaya mereka juga akan menjadi lebih bagus, jadi tiada isu pun mengenai program naturalisasi ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya