Naturalisasi bukan projek gagal - FAM - Utusan Malaysia

Naturalisasi bukan projek gagal – FAM

YUSOFF MAHADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian status naturalisasi kepada Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula tidak dianggap satu kegagalan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi yang menganggap faktor masa yang singkat bersama skuad kebangsaan punca dua pemain itu dilihat gagal memberikan persembahan diharapkan.

“Saya tidak anggap naturalisasi pemain ini gagal. Kalau kita lihat kemunculan Mohamadou Sumareh dalam pasukan kebangsaan, dia pun agak bergelut. Saya fikir Sumareh mula menunjukkan taring ketika berdepan Indonesia.

“Kita tidak boleh kata naturalisasi gagal, cuma akhirnya saya kena cakap kita tak cukup masa. Bayangkan Liridon menyertai pasukan masa kita berada di sini (Dubai) dan De Paula Mac lalu.

“Saya beranggapan kualiti mereka sebagai pemain masih ada, tapi belum serasi dengan pemain lain. Saya tak anggap naturalisasi ini sebagai satu kegagalan sebab kita melihat banyak pasukan lain juga menggunakan pemain naturalisasi termasuk UAE,” katanya.

Dua pemain naturalisasi itu terutama De Paula dikecam hebat selepas Harimau Malaya tewas 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, semalam.

Mohamadou Sumareh juga mengambil masa sebelum dapat menyesuaikan diri dengan Harimau Malaya.

Peminat mendakwa pemain berusia 35 tahun itu sebagai ‘pemalas’ di atas padang dan tidak bersemangat sehingga ada yang mendesak kerakyatannya dilucutkan.

Yusoff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM tetap mempertahankan pemilihan dua pemain itu berdasarkan kualiti dan kelayakan mereka yang memenuhi syarat ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Kalau kita lihat dari kelayakan, dua pemain ini sahaja melepasi syarat dari segi peraturan. Kita tak banyak pilihan, tapi bukan atas faktor itu kita mengambil pemain yang kurang berkualiti.

“Mereka pun melepasi saringan jawatankuasa pemilihan yang terdiri dari jurulatih yang ada nama termasuk Tan Cheng Hoe sendiri yang melihat dari segi individunya (Liridon dan De Paula) mempunyai kualiti dan boleh diberi status naturalisasi.

“Bagi masa akan datang kita ada banyak pilihan sebab ramai pemain yang sudah lebih lima tahun (cukup syarat) dan sudah tentu kriteria pemilihan pemain itu menjadi lagi ketat dan hanya pemain yang kita fikir betul-betul boleh bantu pasukan atau yang berkualiti terbaik akan diserap,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya