PARIS: Rafael Nadal melepaskan set buat kali pertama sejak 2019, namun perkara itu langsung tidak membimbangkan bintang Sepanyol tersebut yang memahat rekod melangkah ke separuh akhir tenis Terbuka Perancis buat kali ke-14.
‘Raja Tanah Liat’ itu menang 6-3, 4-6, 6-4, 6-0 ke atas pilihan ke-10, Diego Schwartzman dari Argentina, sekali gus menempah pertemuan dengan pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic buat kali ke-58.
Djokovic memenangi dua set pertama dan berpeluang meraikan kemenangan ke atas pemain Itali, Matteo Berrettini di depan 5,000 penonton yang dibenarkan masuk untuk perlawanan di sebelah malam.
Bagaimanapun, permainan terpaksa dihentikan seketika sebelum penonton diarah pulang susulan peraturan hanya membenarkan kehadiran sehingga jam 11 malam.
Sebaik saja perlawanan bersambung, Djokovic memastikan kemaraan ke separuh akhir dengan kemenangan 6-3, 6-2, 6-7 (5-7), 7-5.
Turun memburu kejuaraan Roland Garros ke-14 dan Grand Slam ke-21, Nadal buat kali pertama tewas satu set, sekali gus mengakhiri rekod bersih 36 kemenangan straight-set berturut-turut yang dimenangi di Paris.
Pemain berusia 35 tahun itu bagaimanapun gembira berjaya melakar rekod 105 kemenangan sepanjang penyertaannya pada Terbuka Perancis.
“Ia amat menakjubkan dapat kembali ke separuh akhir sekali lagi.
“Diego adalah pencabar yang hebat dan sangat berbakat. Saya berdepan ujian amat sukar hari ini,” kata Nadal.
Selepas menang 105 kali daripada 107 perlawanan di Roland Garros, Nadal mengakui, dia tidak terlalu memikirkan tentang rekod perlawanan, sebaliknya hanya turun memburu kejuaraan.
Satu lagi aksi separuh akhir perseorangan lelaki menemukan pemain No. 5 dunia dari Greece, Stefanos Tsitsipas yang berdepan bintang Jerman dan pilihan keenam, Alexander Zverev.