PETALING JAYA: Datuk Seri Bung Moktar Radin berikrar untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Sabah selepas dilantik sebulat suara sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dalam Kongres Luar Biasa persatuan itu yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu yang memangku jawatan tersebut sejak September lalu menerima pencalonan daripada semua ahli gabungan SAFA dari seluruh daerah sebelum diumumkan menang tanpa bertanding.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Suhaimi Nasir dan Presiden Persatuan Rungus Sabah (SAMORA), Datuk Jelani Hamdan kedua-duanya turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Presiden SAFA.
“Walaupun agak berat tetapi tiada yang mustahil dalam sukan ini, apa yang penting adalah komitmen semua pihak dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak di Sabah.
“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengembalikan kepercayaan yang diberikan rakyat dengan meningkatkan mutu bola sepak Negeri Sabah,” kata Bung Moktar dalam ucapannya di kongres berkenaan.
BUng Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, dengan kepercayaan yang diberi, beliau akan memastikan bola sepak nengeri bukan saja cemerlang di peringkat akar umbi, malah kebangsaan.
Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini menjadi cabaran terbesar buat SAFA, namun dengan sokongan berterusan semua pihak, beliau pasti kejayaan dicapai bola sepak negeri itu mampu diraih.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Mudah-mudahan jika Covid-19 ini dapat dihentikan, kita akan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa dan seterusnya melakukan yang terbaik untuk bola sepak negeri,” katanya.