MADRID: Alvaro Morata mendedahkan anak-anaknya menerima ancaman bunuh disebabkan Euro 2020.
Penyerang Sepanyol itu mengharungi kejohanan yang sukar setelah mensia-siakan banyak peluang menjaringkan gol di depan gawang.
Morata turut diejek di media sosial selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika pasukannya membenam Slovakia 5-0 dalam aksi terakhir Kumpulan E semalam.
Bintang Juventus itu boleh menerima, sebagai pemain bola sepak kritikan adalah sebahagian daripada kehidupan, namun dia amat marah apabila keluarganya turut diancam.
Morata, 28, dan diisterinya, Alice Campello dikurniakan tiga orang anak iaitu sepasang kembar, Leonardo dan Alessandro yang berusia dua tahun, selain Edoardo (lapan bulan).
“Saya faham apabila dikritik kerana tidak menjaringkan gol. Saya orang pertama tahu mengenai perkara itu dan menerimanya.
“Saya harap semua orang meletakkan diri mereka di tempat saya apabila menerima banyak ancaman dan keluarga pula dihina.
“Apabila membaca mesej ‘saya harap anak-anak kamu mati’ (minggu ini), saya terus meletakkan telefon,” katanya kepada stesen radio Sepanyol, Cadena.
Kata bekas pemain Chelsea itu apa yang terpaksa dilalui isterinya sangat menjengkelkan.
“Anak-anak saya pergi ke Seville (menonton perlawanan Sepanyol) dengan nama bapa mereka tertera di baju. Ya (mereka berkata buruk kepada anak-anak saya).
“Saya faham kalau dikritik kerana tidak menjalankan tugas dengan baik tetapi ia ada batasnya.
“Saya tidak tidur selama sembilan jam selepas perlawanan (menentang Poland).
“Saya marah kerana saya mempunyai peluang dan Sepanyol tidak dapat menang.
“Saya berharap orang meletakkan diri mereka di tempat orang lain. Semua orang mengejek saya kerana itu yang mereka dengar daripada orang lain, mereka dihasut,” katanya.
Sepanyol berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 akhir selaku naib juara Kumpulan E, sekali gus menempah pertemuan dengan Croatia, Selasa depan. – AGENSI