CUIABA, Brazil: Lionel Messi meraikan penampilan ke-148 bersama Argentina dengan meledak dua gol ketika membantu negaranya membenam Bolivia 4-1 untuk melangkah ke suku akhir Copa America selaku juara Kumpulan A sebentar tadi.
Penyerang Barcelona itu yang menyamai rekod 147 penampilan milik Javier Mascherano minggu lalu bukan saja cemerlang meledak gol, malah mencipta gerakan untuk jaringan pembukaan Argentina yang disempurnakan oleh Alejandro Gomez.
Kemenangan di Arena Pantanal itu menyaksikan Argentina bakal berdepan pasukan tangga keempat Kumpulan B, Ecuador pada suku akhir, Ahad ini.
Bolivia yang sudahpun tersingkir awal ekoran tiga kekalahan berturut-turut gagal memberi tentangan sengit sejak awal permainan.
Dalam satu lagi perlawanan hari ini, Uruguay menamatkan saingan Kumpulan A di tangga kedua selepas menumpaskan Paraguay 1-0 di Rio de Janeiro.
Jaringan penyerang Manchester United, Edinson Cavani pada babak pertama memadai untuk membantu skuad La Celeste melakar kemenangan, sekali gus menempah pertemuan dengan Colombia di suku akhir, Sabtu ini.
Paraguay pula menutup saingan di tangga ketiga untuk menentang Peru pada Jumaat, manakala Chile yang menduduki tangga keempat akan bertemu juara Kumpulan A, Brazil. – AFP