PETALING JAYA: Biarpun banyak mata tertumpu kepada tiga ‘import’ Harimau Malaya dan tidak gembira dengan prestasi mereka selepas dua aksi persahabatan, namun Tan Cheng Hoe yakin semua pemain naturalisasi tersebut mampu membawa impak.
Aksi Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula pada pertemuan menentang Kuwait serta Bahrain gagal memberi impak seperti diharapkan. Malaysia tewas 1-4 dan 0-2 dalam kedua-dua perlawanan itu.
Begitupun Cheng Hoe yakin, Sumareh, Liridon dan De Paula akan memperkuatkan skuad negara apabila mengharungi tiga baki perlawanan Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula di Dubai, Jumaat ini.
“Sumareh sudah biasa dengan pasukan kebangsaan tapi ia tidak mudah buat Liridon dan De Paula untuk menyesuaikan diri serta mencari keserasian bersama pemain lain.
“Begitupun kedua-dua pemain itu berusaha keras dalam setiap perlawanan dan latihan. Mereka memberi komitmen 100 peratus sebagai satu pasukan.
“Saya rasa ketiga-tiga pemain akan memberi sumbangan terbaik untuk skuad kali ini,” katanya.
De Paula, 34, membuktikan dia mampu memberi impak apabila meledak gol dalam penampilan sulung buat Harimau Malaya ketika berdepan Kuwait, namun tidak diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang Bahrain, Jumaat lalu kerana belum memenuhi syarat badan bola sepak dunia, FIFA.
Liridon, 29, menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika digandingkan bersama Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba berdepan Bahrain, namun keserasiannya bersama pemain lain masih kurang dan perlu ditingkatkan secepat mungkin.
Skuad Harimau Malaya akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jumaat ini sebelum menentang pendahulu kumpulan, Vietnam pada 12 Jun, diikuti Thailand 16 Jun.