Melaka mahu buang ‘malang’ - Utusan Malaysia

Melaka mahu buang ‘malang’

KHAIRUL Fahmi Che Mat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemasukan Gary Steven Robbat dan dua import baharu dari Brazil diharap mampu merubah nasib malang Melaka United (MU) yang berisiko tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas menghuni tangga kedua tercorot Liga Super.

Hanya meraih tiga kemenangan daripada 13 perlawanan menyebabkan anak-anak buah Zainal Abidin Hassan sekadar mengutip 11 mata, situasi yang membimbangkan penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat.

Kata Khairul Fahmi, yang lebih dikenali sebagai Apek, dia berharap liga yang berehat dua bulan untuk memberi laluan kepada saingan antarabangsa dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh tiga pemain baharu skuad Sang Kancil bagi menyesuaikan diri.

Selain Gary, 28, yang dipinjam daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka turut membawa masuk dua pemain dari Serie D Brazil, Giovane Gomes da Silva dan Adriano Aperecido Narcizo.

“Keputusan yang dicatat pada pusingan pertama liga tidak memberangsangkan. Kami berada di bawah, dipotong mata yang mana ia satu kerugian buat pasukan.

“Harap kemasukkan beberapa pemain baharu dapat merubah nasib Melaka United apabila liga bersambung nanti.

“Saya sudah lama mengenali Gary, dia seorang pemain yang bagus dan serba boleh. Harap pengalamannya ketika beraksi buat Harimau Muda, Borussia Dortmund (berlatih), JDT serta JDT II dapat membantu memperbaiki kedudukan kami dalam liga,” katanya kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Kata Khairul Fahmi, Melaka tidak boleh banyak keciciran mata lagi dalam baki sembilan perlawanan kerana kedudukan pasukan tangga kedua terbawah dan pertengahan liga amat rapat.

Mereka yang kehilangan banyak mata berisiko tinggi untuk turun ke Liga Perdana musim depan.

DUA import baharu yang dibawa dari Brazil.

Mengenai kehadiran dua import dari Brazil, dia berharap dapat membantu kedua-dua pemain itu menyesuaikan diri secepat mungkin, terutama dalam keadaan Covid-19 yang mencabar kerana Melaka masih belum dapat memulakan latihan sejak ‘Total Lockdown’ dilaksanakan 1 Jun lalu.

“Kita tahu masalah Covid-19 makin tinggi dan pihak pengurusan sedang berusaha sebaik mungkin untuk membolehkan pasukan kembali berlatih tapi saya tidak tahu bila (kembali menjalani latihan).

“Sebagai pemain, kami hanya bersedia tetapi dalam masa sama kami juga diberi tugasan untuk dilakukan secara individu di rumah bagi mengekalkan kecergasan.

“Kehadiran dua import baharu di bahagian serangan pasti dapat membantu pasukan, harap mereka dapat menyesuaikan diri secepat mungkin dengan pemain sedia ada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya