Marquez kembali rasai nikmat juara - Utusan Malaysia

Marquez kembali rasai nikmat juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SACHSENRING: Marc Marquez menamatkan ‘penderitaan’ 18 bulan apabila kembali bergelar juara dengan menjuarai perlumbaan MotoGP Jerman dalam keadaan trek basah di Litar Hohenstein-Ernstthal berhampiran Chemnitz, Jerman hari ini.

Juara dunia enam kali itu, yang kembali bersaing tahun ini selepas terlepas seluruh perlumbaan musim lalu akibat kemalangan mempamer tunggangan bertenaga untuk mengatasi pelumba sedang meningkat naik dari Portugal, Miguel Oliveira dan pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo.

Marquez bermula dari barisan kedua, namun terus memecut sebaik saja perlumbaan bermula dan bersaing untuk kedudukan pendahulu dengan Aleix Espargaro ketika hujan mulai turun.

Ketika pelumba lain berhati-hati di atas permulaan litar basah, pelumba Honda dari Sepanyol itu sebaliknya mengekalkan tunggangan bertenaga.

MARC Marquez meraikan kemenangannya di Sachsenring, Jerman. – AFP

“Saya tidak menjangkakan kemenangan hari ini, namun apabila  melihat beberapa pelumba mula perlahan pada pusingan keempat dan kelima, saya terus berkata ‘ini perlumbaan saya.

“Apabila lebih ramai memperlahankan tunggangan, saya terus ke depan dan mengambil risiko. Persaingan kedua bermula dengan Oliveira,” kata Marquez.

Oliviera yang juga pemenang GP Catalonia cuba mengejar, namun sekadar mampu berada di belakang Marquez.

“Kami saling mengejar sepanjang perlumbaan. Dia lebih pantas di beberapa sektor, tetapi saya pantas di bahagian lain. Kami tidak ketinggalan jauh,” kata Oliveira.

Sementara itu, Quartararo melebarkan penguasaan selaku pendahulu kejuaraan di atas litar yang tidak sesuai dengan jenteranya, berbanding di Assen, minggu depan.

“Menaiki podium sudah cukup bagus. Kami bergelut sepanjang minggu ini. Kini saya tidak sabar menantikan aksi di Assen, salah satu litar kegemaran saya.

Quartararo kini mendahului 22 mata mengatasi Johann Zarco yang menamatkan perlumbaan pada kedudukan kelapan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya