ROME: Roberto Mancini sudah pun mengecapi pencapaian luar biasa apabila Itali memenangi semua perlawanan Kumpulan A menerusi persembahan meyakinkan, dan jurulatih itu hanya perlu mengekalkan momentum bagi membawa pulang kejuaraan Eropah pertama selepas 53 tahun.
Pemain sayap Juventus, Federico Bernardeschi berkata, ketika Mancini tiba, skuad Azzurri berada dalam keadaan ‘tenat’ ekoran kegagalan melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.
“Ketika dia tiba, keadaan kami sangat teruk. Pasukan Itali bagaikan sudah mati dan diserang hebat.
“Perlahan-lahan, satu demi satu perlawanan dia memperbetulkan keadaan. Dia tidak mengambil pendekatan rumit, sebaliknya cara yang mudah buat semua orang.
“Dia mengembalikan keyakinan pemain dan semangat penyokong. Hari ini, apa yang telah dia lakukan sangat luar biasa…benar-benar luar biasa,” kata Bernardeschi.
Mancini mengambil alih tugas Giampiero Ventura yang gagal membawa Itali ke Piala Dunia 2018 selepas kalah kepada Sweden dalam aksi kelayakan pada November 2017.
Hari ini, skuad Azzurri mengharungi 30 perlawanan tanpa kalah iaitu menyamai rekod terbaik mereka di bawah bimbingan Vittorio Pozzo pada era 1930-an.
Itali juga berada di landasan terbaik untuk membawa pulang kejuaraan Eropah buat kali pertama sejak kali terakhir memenanginya di tempat sendiri pada 1968.
“Keyakinan pemain amat tinggi dan kami berada dalam mood yang sangat bagus, namun menentang Austria (pusingan 16 akhir) bukan tugas mudah.
“Austria akan diketuai David Alaba (Bayern Munich) dan kami bermain di gelanggang yang penuh sejarah bola sepak Wembley, ia suasana hebat,” katanya.
Itali juga menerima berita baik menjelang pertemuan dengan Austria, Ahad ini apabila tonggak pertahanan, Giorgio Chiellini sudah kembali ke sesi latihan. – AGENSI