LONDON: Manchester United tidak akan memulakan langkah untuk membawa masuk Sergio Ramos biarpun legenda Sepanyol itu mengumumkan akan meninggalkan Real Madrid bujung bulan ini.
Real hari ini mengesahkan, pertahanan tengah dan kapten legenda mereka itu akan meninggalkan Santiago Berbaneu selepas 16 tahun dan memenangi 22 trofi bersama.
United sebelum ini antara kelab teratas yang dikaitkan dengan pemain berusia 35 tahun itu bersama gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
Akhbar Britain, Daily Mail bagaimanapun mendakwa, pengurusan tertinggi United, termasuk naib ketua eksekutif kelab, Ed Woodward masih ‘sakit hati’ dengan apa yang dilakukan oleh Ramos bersama adiknya, Rene ketika kali terakhir mereka berunding untuk menandatanganinya.
Pemain pertahanan itu sendiri pernah membuat pengakuan, dia hampir berpindah ke Old Trafford pada 2015 sebelum merubah fikiran di saat akhir.
“Pada satu tahap, saya terfikir tentang mahu melakukan perubahan, godaan untuk menyertai kelab besar yang lain, namun pada akhirnya, Real Madrid sentiasa menjadi keutamaan saya.
“Ia bukan soal ekonomi (kewangan) seperti yang diperkatakan sesetengah pihak,” kata Ramos dalam wawancara bersama COPE ketika itu.
Sementara itu, Ramos kelihatan mengalirkan air mata dalam majlis perpisahan yang diadakan oleh Real hari ini, sambil memberitahu media, dia sebenarnya tidak mahu meninggalkan kelab tersebut.
Biarpun amat kecewa kerana rundingan dengan Real menemui kegagalan, pemain itu enggan mengkritik presiden kelab, Florentino Perez secara langsung sambil menggambarkan hubungan mereka seperti ‘bapa dan anak’.
“Dalam beberapa bulan lalu, kelab memberikan saya tawaran setahun dengan gaji yang lebih rendah. Saya ingin menekankan bahawa wang tidak pernah menjadi masalah. Saya mahukan sambungan dua tahun untuk saya dan keluarga. Tidak pernah ada isu kewangan.
“Ketika akhirnya saya memutuskan untuk menerima tawaran satu tahun dengan gaji yang lebih rendah, saya diberitahu bahawa tawaran itu sudah sampai tarikh luput yang mana saya tidak sedar,” kata Ramos dalam sidang akhbar.
Ramos menegaskan dia tidak tahu mengapa tawaran itu tamat dan mengatakan dia ‘benar-benar terkejut’.
“Saya ingin tinggal di sini bertahun-tahun lag. Madrid adalah rumah saya dan keluarga saya,” katanya. – AGENSI