PARIS: Bakal menjangkau usia 40 tahun pada 26 September ini, Serena Williams nyata masuk sukar digugat apabila melangkah ke pusingan ketiga tenis Terbuka Perancis pagi tadi, sekali gus meneruskan misi memburu gelaran Grand Slam ke-24.
Bintang Amerika Syarikat (AS) dan ibu kepada seorang anak itu bagaimanapun dipaksa berhempas pulas untuk mengatasi pemain yang tujuh tahun lebih muda daripadanya, Mihaela Buzarnescu dari Romania 6-3, 5-7, 6-1.
Serena yang hanya memerlukan satu lagi kejuaraan Grand Slam untuk mengatasi rekod sepanjang zaman milik legenda Australia, Margaret Court kini akan berdepan rakan senegara, Danielle Collins pada pusingan ketiga esok.
Collins, 27, mara selepas mudah menyingkirkan pemain Ukraine, Anhelina Kalinina 6-0, 6-2.
“Ia adalah pertarungan yang sengit. Dia (Buzarnescu) beraksi dengan baik, begitu juga saya,” kata bekas pemain No. 1 dunia dan pilihan ketujuh kejohanan, Serena.
Mengenai lawannya pada pusingan ketiga esok, Serena berkata, agak malang mereka terpaksa bertemu awal kerana dia mengharapkan Collins dalam melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini.
Kali terakhir dua pemain AS itu berentap sesama sendiri adalah pada suku akhir kejohanan Yarra Valley Classic di Melbourne, Februari lalu yang menyaksikan Serena menang dalam pertarungan sengit 6-2, 4-6, 10-6.
“Saya menentangnya di Australia dan dia bermain dengan amat baik.
“Saya gembira setiap kali bertemunya, terutama dalam bilik persalinan. Sebenarnya lebih seronok tidak perlu bertemu sesama sendiri di peringkat awal kerana saya sentiasa mengharapkan dia mencatat keputusan terbaik,” kata Serena, juara Terbuka Perancis 2002, 2013 dan 2015.
Sementara itu dalam saingan lelaki, pilihan kelima, Stefanos Tsitsipas dan pemain No. 2 dunia, Daniil Medvedev meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga.
Bintang Greece, Tsitsipas mempamer aksi bertenaga ketika menumpaskan pencabar dari Sepanyol, Pedro Martinez 6-3, 6-4, 6-3, sekali gus menempah pertemuan dengan John Isner dari AS.
Jaguh Rusia, Medvedev pula bangkit daripada kekalahan di set pertama sebelum menewaskan pemain AS, Tommy Paul 3-6, 6-1, 6-4, 6-3. – AGENSI