Main bagus tapi bukan rezeki JDT - Utusan Malaysia

Main bagus tapi bukan rezeki JDT

AKSI pemain JDT ketika menentang Nagoya Grampus dalam perlawanan pertama Kumpulan G,Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok malam tadi. - IHSAN AFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menganggap skuad Harimau Selatan tidak ada rezeki setelah tewas 0-1 kepada Nagoya Grampus pada perlawanan pertama Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam tadi.

Pengendali kelahiran Mexico itu berkata, pemain sudah memberikan persembahan terbaik bagi menyaingi kehebatan kelab dari Jepun itu namun gagal mengubah keputusan perlawanan ke wisel penamat.

Biarpun tewas, Mora mengambil positif keputusan perlawanan tersebut yang dilihat sebagai satu permulaan yang baik dalam saingan kempen ACL tahun ini.

“Nagoya  pasukan yang kuat dan memberikan tekanan hebat kepada JDT hingga kami tidak mampu untuk mengatur permainan seperti kebiasaannya, ia adalah situasi yang sukar buat kami.

“Bagaimana pun, saya bangga dengan pemain saya kerana mereka bermain bermati-matian dan telah memberikan sedaya upaya mereka sehingga minit terakhir permainan dalam perlawanan yang sukar itu.

“Namun malangnya, kami bolos satu gol. Saya fikir ini adalah permulaan yang baik dalam usaha tersebut. Kami tahu ini akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi kami sentiasa mencuba sebaik mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan malam tadi.

PEMAIN Harimau Selatan mahu melupakan kekalahan dan segera melakukan persiapan  hari ini menjelang aksi kedua menentang kelab Thailand, Ratchaburi FC, Jumaat ini.

Pada perlawanan itu, jaringan tunggal Hiroyuki Abe pada minit ke-60 sudah cukup untuk meranapkan hasrat Harimau Selatan bagi membawa pulang satu mata.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT cuba untuk bangkit memburu gol penyamaan namun berdepan kesukaran menembusi benteng ampuh pasukan kendalian Massimo Ficcadenti.

Pada minit akhir permainan, penyerang Harimau Selatan, Bergson Da Silva berjaya menjaringkan gol penyamaan namun malangnya jaringan itu dibatalkan oleh pengadil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamed Abdulla Hassan.

Gol itu dibatalkan oleh Mohamed Abdulla apabila mendapati pemain import kelahiran Brazil itu mengasari pertahanan Nagoya Grampus dan keputusan kekal ke wisel penamat.

Mengulas lanjut, Mora berkata, mereka telah mencuba pelbagai cara untuk mengubah keputusan perlawanan dengan beberapa kali mengubah taktikal dan formasi permainan.

“Kami mengubah formasi, mengubah sedikit corak permainan dua atau tiga kali malah kami mempunyai satu atau dua peluang tetapi sayangnya kami tidak dapat melakukannya.

“Mereka bermain sebagai satu unit yang teratur dan benteng pertahanan mereka sangat padat serta sukar untuk dibolosi. Mereka juga agak agresif dan kami tidak mempunyai ruang untuk membina serangan seperti yang kami mahukan,” ujarnya.

JDT akan berentap dengan pasukan Thailand, Ratchaburi FC bagi aksi kedua Kumpulan G pada Jumaat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya