PETALING JAYA: Kekalahan 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah dilupakan anak-anak buah Tan Cheng Hoe yang kini fokus sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Vietnam di Dubai, Sabtu ini.
Kata Cheng Hoe, aspek taktikal menjadi keutamaannya sepanjang sesi latihan semalam, terutama selepas menonton perlawanan skuad Naga Emas menumpaskan Indonesia 4-0 kelmarin.
“Memang kita tahu kekuatan pasukan Vietnam adalah dari segi kelajuan mereka, kerjasama berpasukan dan semangat juang yang tinggi.
“Itulah sebab kita perlu berjaga-jaga serangan balas mereka yang pantas dan laju sambil bekerja keras memastikan benteng kita tidak mudah dibolosi.
“Dalam bola sepak apa yang penting itu transisi, apabila kita bertahan atau menyerang kita kena cepat bertindak. Kita perlu pantas mengambil peluang dengan baik. Kita perlu mengurangkan kesalahan-kesalahan individu dan fokus setiap saat,” katanya semalam.
Malaysia perlu menang pertemuan itu untuk menghidupkan peluang menempatkan diri dalam kedudukan dua teratas Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.