IPOH: Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman berkata, sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang dilaksanakan menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan hasrat untuk mengambil alih skuad bola sepak Perak.
Katanya, belum ada sebarang keputusan diambil memandang tiada rundingan dapat dilakukan sepanjang tempoh total lockdown.
“Sekarang masih lockdown, jadi kita tengok dulu keadaan.
“Buat masa sekarang, belum ada apa-apa lagi (keputusan ambil alih),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Vida sebelum ini tidak menolak kemungkinan bakal menjadi pemilik baharu Perak FC, malah beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan bekas presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi mendapatkan gambaran situasi pasukan tersebut.
Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed sebelum ini mencari pelabur yang berminat mengambil alih pasukan bagi menyelesaikan kemelut kewangan mereka.
Penyokong Bos Gaurus mencadangkan beberapa nama untuk menerajui Perak antaranya bekas Ahmad Faizal, selain bekas Presiden Pafa, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan bekas pengurus Perak FA, Datuk Jamal Nasir Rasdi.