SEREMBAN: Legenda sepak takraw negara, Sahak Md Yassin, 74, meninggal dunia di rumahnya di Taman Bunga Raya, Setapak pada pukul 3.30 petang tadi.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd. Husni Abdullah berkata, pemergiaan bekas apit kanan negara kelahiran Kampung Nuri, Johol itu dimaklumkan oleh menantu Allahyarham, Zaki Ab Rahman.
“Ia satu kehilangan besar kepada sukan sepak takraw negara. Allahyarham memang suatu ketika dahulu digeruni dan dihormati oleh lawan dan kawan.
“Pestans sendiri sering menjemput Allahyarham bagi menyampaikan nasihat dan tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda, saya secara peribadi juga akan terasa kehilangan beliau yang saya sifatkan sebagai pakar rujuk dalam sukar takraw,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Jelas Wan Mohd. Husni, jenazah difahamkan akan dibawa pulang ke kampung halaman Allahyarham untuk dikebumikan.
Ketika di eranya, Allahyarham dikenali sebagai individu yang bertanggungjawab memperkenalkan kaedah ‘blocking’ dalam dunia sepak takraw.
Jika sebelum itu, seseorang ‘killer’ bebas merejam bola tanpa dihadang, tetapi sejak kaedah ‘blocking’ diperkenalkan oleh Sahak, permainan sepak takraw dilihat semakin menarik.
Allahyarham pernah mewakili pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1970 sehingga 1975 dan kemudian mewakili Selangor sehingga 1981.
Dalam tempoh itu, beliau turut mewakili negara malah pernah memenangi pingat emas Sukan SEAP di Singapura pada tahun 1973 serta Sukan SEA pada 1975 di Bangkok, Thailand dan Sukan SEA Kuala Lumpur pada 1977.