LONDON: Kekalahan Jerman kepada England dalam pusingan 16 akhir Euro 2020 awal pagi tadi menimbulkan persoalan kepada peminat bola sepak, apakah Kumpulan ‘maut’ F benar-benar membawa ‘badi’.
Jaringan Raheem Sterling dan Harry Kane membantu Three Lions menumpaskan Die Mannschaft 2-0 di Stadium Wembley, London sekali gus melangkah ke suku akhir.
Jerman kini mengikuti jejak dua lagi pasukan dari Kumpulan F, iaitu penyandang juara, Portugal dan juara Piala Dunia, Perancis yang terlebih dulu ditunjukkan jalan keluar dari pertandingan.
Ketiga-tiga gergasi dunia itu diundi dalam Kumpulan F sehingga peminat menggelar ia sebagai kumpulan ‘maut’.
Perancis yang muncul juara kumpulan disingkirkan oleh Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas perlawanan sebenar terikat 3-3.
Portugal yang melayakkan diri ke peringkat kalah mati selaku pasukan tangga ketiga – berterima kasih kepada tiga gol yang disempurnakan Cristiano Ronaldo, bagaimanapun tumpas 0-1 kepada pasukan No. 1 dunia, Belgium.
“Kumpulan maut, benar-benar membawa maut. Sekarang, semua gergasi – Perancis, Portugal dan Jerman terkeluar daripada kejohanan,” tulis Simon Smale dalam media sosial.
“Seluruh pasukan Kumpulan Maut sudah mati sebelum masuk suku akhir,” kata Dan Colasimone di Twitter. – AGENSI