Korda juara PGA Wanita, rampas ranking No. 1 dunia - Utusan Malaysia

Korda juara PGA Wanita, rampas ranking No. 1 dunia

NELLY Korda meraikan kejayaan muncul juara PGA Wanita di Kelab Atlanta Athletic, Johns Creek, Georgia hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Nelly Korda merangkul gelaran sulung dalam kejuaraan utama selepas mengungguli Kejohanan Golf PGA Wanita hari ini, sekali gus muncul pemain wanita Amerika Syarikat (AS) pertama dinobat sebagai pemain No. 1 dunia.

Anak kepada legenda tenis Republik Czech, Petr Korda berusia 22 tahun itu melakukan dua eagle ketika bersaing sengit dengan rakan senegara, Lizette Salas untuk menang menerusi kelebihan tiga pukulan.

“Saya bekerja keras selama ini. Akhirnya saya meraih tiga kemenangan tahun ini dan merangkul satu gelaran utama. Sejujurnya, sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata,” kata Korda.

Korda mencatat empat bawah par 68 pada hari terakhir, sekali gus mengumpul 269 pukulan keseluruhan, 19 bawah par di Kelab Golf Atlanta Athletic.

Dia akan melonjak dari tangga ke kedudukan pertama apabila ranking baharu dunia dikeluarkan hari ini, sekali gus memintas dua pemain Korea Selatan, Ko Jin-young dan Park In-bee.

NELLY Korda melakukan pukulan di tee dua pada pusingan akhir Jelajah PGA Wanita di Kelab Atlanta Athletic, Johns Creek, Georgia hari ini. – AFP

Korda muncul pemain AS pertama menerajui ranking dunia sejak Stacy Lewis pada Oktober 2014 dan pemain ketiga negara itu mengungguli saingan selepas Stacy dan Cristie Kerr (sejak ranking diperkenalkan pada 2006).

Dia juga pemain AS pertama merangkul kejuaraan utama wanita sejak Angela Stafford muncul juara Evian 2018.

“Saya telah mengimpikan detik ini sejak berusia 14 tahun.

“Saya mahukan kejuaraan utama sejak kali pertama beraksi Penantian saya berakhir di Atlanta dengan disaksikan penonton yang hebat, detik yang sangat istimewa,” katanya.

Korda merangkul kejuaraan Jelajah LPGA (Persatuan Golf Profesional Wanita) ketiganya tahun ini selepas Boca Rio (Februari) dan Meijer Classic minggu lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya