PETALING JAYA: Penantian Jeremiah Loo berakhir dengan berita gembira apabila Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) mengesahkan gimnas negara itu muncul salah satu daripada dua wakil benua Asia yang bakal beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo bulan depan.
Berita yang diterima Jeremiah, hari ini amat menggembirakan kerana impiannya sejak kecil akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya tidak pernah segembira ini, impian menjadi kenyataan.
“Saya menunggu sejak bulan lalu untuk berita ini. Saya tahu nama saya ada tetapi saya memerlukan pengesahan,” kata pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Selepas Kejohanan Asia di China yang sepatutnya menjadi pentas kelayakan terakhir benua ini dibatalkan bulan lalu, dua gimnas terbaik Asia dalam Kejohanan Dunia 2019 diipilih ke Olimpik.
Berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan, Dinh Phuong Thanh dari Vietnam dan Jeremiah adalah gimnas paling layak untuk mewakili rantau ini ke Sukan Olimpik. Atlet terbaik Asia yang lain sudahpun mengesahkan tiket lebih awal.
“Saya akan memberikan aksi terbaik dan cuba membuatkan Malaysia bangga. Kalau boleh, sasaran saya adalah melangkah ke pusingan akhir acara all-around,” katanya.
Jeremiah adalah gimnas lelaki kedua Malaysia layak ke Olimpik selepas Ng Shu Wai yang beraksi dalam temasya Beijing 2008.
Dia menjadi gimnas kedua negara akan beraksi di Tokyo selepas Farah Ann Abdul Hadi terlebih dulu mengesahkan tiket dalam saingan artistik wanita.
Ini kali pertama Malaysia menghantar lebih daripada seorang gimnas dalam Sukan Olimpik.