MARSEILLE: Max Verstappen percaya titik perubahan telah berlaku dalam sesi latihan bebas kedua, sekali gus memacunya untuk menempah petak pertama dalam kelayakan Grand Prix (GP) Perancis Formula Satu (F1).
Pelumba Red Bull itu mengatasi musuh tradisi Lewis Hamilton dalam sesi kelayakan di Litar Paul Ricard menerusi 0.258 saat, untuk pemandu Mercedes itu berada di petak kedua.
Verstappen berkata, perubahan yang dilakukan pada sesi latihan itu telah menjadikan jentera RB16B lebih hebat berbanding sebelum ini.
“Setakat ini, saya melalui fasa positif di atas litar, di mana sebelum ini kami agak bergelut untuk menempah petak pertama.
“Saya fikir semalam, di sesi ujian bebas kedua, ada perubahan besar berlaku. Ia menjadikan jentera saya dalam keadaan hebat sekarang.
“Sudah tentu, untuk memperoleh petak pertama adalah sesuatu yang menakjubkan,” kata Verstappen.- AGENSI