PETALING JAYA : Persoalan, adakah Malaysia mampu menewaskan Vietnam menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Sabtu ini terus bermain diminda pemerhati dan peminat pasukan kebangsaan.
Rekod empat pertemuan terakhir langsung tidak memihak kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe apabila terus ‘buntu’ untuk melakar kemenangan ke atas pasukan bimbingan Park Hang-Seo.
Bermula di Piala AFF 2018, skuad Harimau Malaya tewas 2-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan serta seri 2-2 dan tewas 1-0 dalam final yang berlangsung secara timbal balik, seterusnya tewas 1-0 dalam kempen kelayakan.
Jika rekod menjadi ukuran, jelas menyaksikan Cheng Hoe masih tercari-cari formula terbaik untuk menewaskan taktikal jurulatih dari Korea Selatan berkenaan.
Begitupun, bekas jurulatih Kedah itu mengakui sudah ‘masak’ dengan corak permainan Vietnam dan menyifatkan permainan lawannya itu tidak banyak berubah berbanding dua tahun lalu.
Tambah Cheng Hoe, sebahagian besar pemain mereka masih sama kecuali di posisi penjaga gol utama tanpa kehadiran Dong Van Lam.
“Taktikal dan strategi permainan Vietnam masih lagi sama dengan gabungan pemain-pemain muda dan senior sama ketika edisi 2019 dan hanya dibezakan di posisi penjaga gol.
“Mereka telah mempamerkan aksi yang cukup komited dengan semangat juang tinggi selain melakukan banyak gerakan serangan balas pantas yang berbahaya.
“Namun, ada khabar gembira sedikit buat skuad negara kerana perancang utama mereka, Nguyen Quang Hai telah dilayangkan kad kuning kedua kejohanan sekali gus tidak akan turun menentang
Malaysia nanti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe berharap penyokong bola sepak negara bersabar dan percaya dengan proses penyesuaian diri yang dilakukan oleh penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula, yang mungkin bakal memberi impak pada aksi menentang Vietnam.
“De Paula merupakan seorang penyerang yang berpengalaman kerana sebelum berkelana di Malaysia lebih lima tahun, dia telah beraksi di luar negara untuk tempoh yang lama.
“Justeru, sentuhannya akan terus ditagih pasukan tetapi fokus tidak harus diberikan kepada De Paula sahaja kerana saya mahu semua pemain memberikan komitmen seratus peratus di atas padang,” ujarnya.
Skuad negara ketika ini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan sembilan mata tetapi masih berpeluang untuk melayakkan diri ke pusingan kelayakan seterusnya sekiranya menang pada dua perlawanan terakhir menentang Vietnam dan Thailand.